Buletin

HYUNDAI PANGGIL KEMBALI 54 NEXO DI AMERIKA, RISIKO KEBOCORAN HIDROGEN

Sebanyak 54 buah crossover Hyundai Nexo 2019 telah dipanggil semula di Amerika Syarikat berhubung risiko kebocoran bahan api hidrogen yang mampu mengakibatkan kebakaran.

Menurut dokumen National Highway Traffic Safety Administration (NHTSA), masalah ini berpunca daripada komponen penapis yang boleh tertanggal serta-merta selepas pengisian hidrogen.

Ini boleh mengakibatkan saluran masuk pengisian bahan api tidak ditutup dengan baik, sekaligus menyebabkan kebocoran hidrogen.

Menurut Hyundai, syarikat pembekal komponen tersebut dikatakan menggunakan penapis prototaip berikat epoxy bagi menggantikan penapis kimpalan laser yang telah ditentukan oleh rekaan asal.

Pada 16 Mac 2022, satu kes kebakaran melibatkan Hyundai Nexo 2019 dikesan di Korea Selatan sejurus selepas proses pengisian bahan api hidrogen, dan mereka turut mendapati terdapat kebocoran hidrogen berpunca daripada komponen yang disebutkan tadi.

Di Amerika Syarikat, Hyundai Nexo hanya boleh didapati secara eksklusif di California memandangkan ia satu-satunya lokasi yang menawarkan infrastruktur pengisian hidrogen yang mencukupi untuk kegunaan orang awam.

Sepanjang tahun 2021, Hyundai berjaya mengedarkan 430 unit Nexo, dengan peningkatan sebanyak 107 peratus berbanding tahun 2020. – NHTSA

Google ads
Back to top button