Buletin

MERCEDES-BENZ JENAMA MEWAH PALING BERNILAI DI DUNIA 2021!

Persaingan di antara pengeluar kereta massa dan premium sebenarnya sama sengit. Jika pengeluar kereta massa bersaing hebat di dalam SUV segmen C, pengeluar premium pun sama begitu.

Di dalam persaingan pasaran premium, memang jelas pengeluar dari Jerman mendominasi pasaran global dan tiga jenama yang dimaksudkan ialah Mercedes-Benz, BMW dan Audi.

Di antara tiga jenama tersebut jenama mana yang paling bagus?

Terpulang kepada peminat dan pembeli namun baru-baru ini Mercedes-Benz disenaraikan di dalam sepuluh Jenama Global Terbaik 2021 (Best Global Brands 2021).

Senarai itu dibuat oleh Interbrand, firma perunding jenama dari Amerika Syarikat.

Nilai lebih RM211 bilion!

Mercedes-Benz juga satu-satunya jenama Eropah di dalam senarai sepuluh terbaik dan pengeluar dari Stuttgart itu berada di tempat kelapan yang diduduki sejak tahun 2018.

Nilai jenama Mercedes-Benz telah meningkat sebanyak tiga peratus sejak tahun 2020 kepada USD50.86 bilion (RM211 bilion).

Angka tersebut mengekalkan kedudukan Mercedes-Benz sebagai jenama mewah paling berharga di dunia untuk enam tahun berturut-turut dan satu-satunya di dalam senarai sepuluh terbaik.

Dua lagi pesaing dari Jerman berada di tempat ke-12 dan 46.

Indikator Interbrand

Interbrand telah melakukan kajian Jenama Global Terbaik (Best Global Brands) sejak dari tahun 1999 lagi.

Firma itu menyenaraikan 100 jenama paling bernilai di dunia dan digunakan sebagai penanda aras dan indikator penting oleh ketua pegawai eksekutif (CEO) di serata dunia.

Pemeringkatan (ranking) dibuat berdasarkan tiga kriteria utama berikut:

  1. Prestasi kewangan produk atau perkhidmatan jenama tersebut.
  2. Peranan jenama di dalam proses pembuatan keputusan pembelian.
  3. Kekuatan jenama bagi menjamin pulangan pada masa depan untuk syarikat.

Dengan indikator tersebut, memang layak Mercedes-Benz berada di dalam senarai terbaik.

Jika kesemua jenama mewah itu bagus apa yang membezakannya untuk menjadi juara ialah keunggulan dan kekukuhan jenama.

Fakta ringkas Mercedes-Benz AG.

Mercedes-Benz AG adalah subsidiari kepada Daimler AG dan satu daripada pengeluar kereta mewah terbesar dunia.

Di bawahnya ada dua jenama utama iaitu Mercedes-Benz Cars dan Mercedes-Benz Vans dan portfolio produknya turut merangkumi Mercedes-AMG, Mercedes-Maybach, Mercedes-EQ, G-Class dan smart.

Pada tahun 2020, Mercedes-Benz AG telah menjual sekitar 2.1 juta kereta penumpang dan hampir 375,000 van.

Mercedes-Benz AG mempunyai 35 pusat pengeluaran di empat benua dunia.

Apa yang Mercedes-Benz nak buat pada masa depan? Sedang bersiap untuk menjadi pengeluar kereta elektrik sepenuhnya untuk pasaran yang ada sebelum dekad ini.

Seperkara yang menarik tentang kedudukan Interbrand ialah Toyota berada di tempat teratas bagi kategori automotif dan ketujuh terbaik di dunia.

Nilai Toyota ialah USD54,107 bilion (RM224.5 bilion).

Google ads
Back to top button