HYUNDAI TUCSON 2025 UNTUK KOREA, MASIH BAHARU SPESIFIKASI DIPERTINGKAT
Kia telah membuka tempahan untuk Sportage generasi kelima dan bakal dilancar secara rasmi pada Disember.
Dua pilihan enjin ditawarkan iaitu 1.6 liter turbo dan 2.0 liter dan dijangka dijual daripada RM150 ribu sehingga RM190 ribu.
Sebelum Sportage, pelanggan tempatan terlebih dahulu ditawarkan sebuah lagi produk Korea iaitu Hyundai Tucson.
Sebelum ini Sportage dan Tucson salin bergandingan di atas jalan raya. Tucson generasi keempat dikeluarkan sejak 2020 dan model rupa baharu diperkenal pada Disember 2023.
Terbaru Hyundai memperkenalkan Tucson 2025 untuk pasaran Korea dan bakal dijual secara rasmi pada 19 November.
Masih lagi baharu, Hyundai tidak menyentuh bahagian luar dan mengemaskini tawaran berdasarkan permintaan pelanggan.
Kesemua varian Tucson 2025 kini didatangkan bersama pemadam api dan model aras mula Tucson Modern dilengkapi liang penyaman udara baris kedua dan pengelap cermin jenis aero.
Varian popular iaitu Premium dikemaskan dengan pengecas telefon tanpa wayar, cermin sisi keselamatan untuk penumpang belakang dan tuil rebahan kerusi baris kedua dari but.
Hyundai turut menawarkan pakej pilihan baharu Best Selection III·IV khusus untuk Inspiration dan varian teratas Tucson. III untuk Tucson 1.6 turbo petrol, IV buat pelanggan 1.6 turbo hibrid dan 2.0 diesel.
Best Selection III·IV ditawarkan dengan pilihan Bantuan Parkir dan Sistem Bunyi Premium BOSE dan merangkumi ciri-ciri berikut:
- Monitor sisi belakang
- Monitor pandangan sekeliling
- Bantuan pengelakan pelanggaran parkir belakang
- Amaran jarak parkir sisi
- Bantuan parkir pintar kawalan jauh (IV sahaja)
Melalui pakej ini pelanggan boleh menikmati diskaun sebanyak 200,000 won (RM637) berbanding pilihan secara berasingan.
Satu makluman menarik ialah, Hyundai mengekalkan harga Tucson Modern dan Inspiration dan meminimumkan kenaikan harga untuk Premium.
Harga Hyundai Tucson 2025:
- 1.6 turbo: 27.71 juta won (RM88,384) – 34.39 juta won (RM109,681)
- 2.0 diesel: 30.13 juta won (RM96,094) – 36.81 juta won (RM117,383)
- 1.6 turbo hibrid: 32.13 juta won (RM102,459) – 38.58 juta won (RM123,027)
- N Line 1.6 turbo: 32.43 juta won (RM103,403), 35.39 juta won (RM112,836)
- N Line 2.0 diesel: 34.85 juta won (RM111,114), 37.81 juta won (RM120,557)
- N Line 1.6 turbo hibrid: 36.44 juta won (RM116,189), 39.38 juta won (RM125,563)
*Harga model hibrid berdasarkan faedah cukai.