
HONDA HR-V FACELIFT 2025 DILANCARKAN – TIGA PILIHAN TRENKUASA, HARGA BERMULA RM115K
Honda Malaysia hari ini secara rasmi melancarkan versi facelift bagi SUV popular mereka, Honda HR-V 2025.
Model generasi ketiga ini mengekalkan banyak elemen asal, dengan perubahan lebih tertumpu kepada penampilan luar dan beberapa sentuhan baharu di bahagian dalam.
Ditawarkan empat varian, perincian harga adalah seperti berikut:
- S: RM115,900
- E: RM130,900
- V: RM137,900
- E:HEV RS: RM143,900
Dari segi luaran, perubahan ketara adalah pada bahagian gril hadapan yang kini lebih lebar, disertai rekaan semula bampar baharu untuk tampil lebih moden dan garang.

Di belakang, lampu LED belakang kini hadir dengan rekaan lebih tirus dan kontemporari. Untuk varian RS, rim 18-inci juga diberi nafas baharu dengan kemasan dua tona berkilat.
Masuk ke ruang dalaman, konsol tengah jenis “wraparound” yang menjadi identiti sebelum ini kini digantikan dengan susun atur simetri yang lebih konvensional, sekaligus memberikan ruang simpanan tambahan di bawah kawalan pendingin hawa.
Sistem infotainmen pula mengekalkan skrin sentuh lapan inci, namun ia telah dikemas kini dan kini menyokong sambungan tanpa wayar untuk Apple CarPlay dan Android Auto.
Untuk pilihan enjin, HR-V masih ditawarkan dalam tiga pilihan trenkuasa: enjin aspirasi natural 1.5L, enjin 1.5L VTEC Turbo dan varian hibrid e:HEV.

Enjin NA 1.5L jenis L15B yang turut digunakan dalam model City, kekal dengan output 121PS dan 145Nm tork pada 4,300rpm.
Bagi versi turbo pula, enjin 1.5L VTEC Turbo menghasilkan 181PS dan 240Nm, dengan kuasa maksimum hadir antara 1,700 hingga 4,500rpm. Kedua-dua enjin ini digandingkan dengan transmisi CVT.
Sementara itu, versi hibrid menggunakan sistem e:HEV juga tidak menerima peningkatan kuasa, namun Honda mendakwa sistem ini telah ditala semula untuk menawarkan respons lebih pantas dan bunyi enjin yang lebih meyakinkan.
Gabungan motor elektrik 131PS/253Nm dengan enjin petrol 1.5L Atkinson-cycle 105PS/127Nm kekal, di mana enjin petrol tersebut bertindak sebagai penjana tenaga tetapi turut mampu menggerakkan roda depan ketika kelajuan tinggi.

Ciri keselamatan Honda Sensing terus ditawarkan sebagai standard, dan kini ia ditambah baik dengan dua ciri baharu iaitu Adaptive Driving Beam serta Active Cornering Light, memberikan lebih keyakinan ketika pemanduan malam atau di selekoh.
Sebagai pelengkap kepada perubahan ini, HR-V 2025 kini turut ditawarkan dengan dua warna baharu – Phoenix Orange Pearl dan Crystal Black Pearl, menambah pilihan kepada pembeli yang mahukan gaya lebih menyerlah.
GALERI:

















