
IKLAN HYUNDAI BUAT KEJUTAN DI AD METER USA TODAY
Hyundai menjadi syarikat automotif pertama yang mengungguli anugerah Ad Meter USA TODAY apabila iklan “First Date” berjaya mengalahkan 63 iklan Super Bowl 50 yang lain.
Bukan itu sahaja, dua lagi iklan Hyundai iaitu “Ryanville” dan “The Chase” pula menduduki tempat kelima dan keenam dalam carta sama. Iklan-iklan tersebut dihasilkan oleh agensi Hyundai, INNOCEAN Worldwide.
Iklan berdurasi 60 saat itu menampilkan pelakon/pelawak Kevin Hart yang mengetengahkan kecanggihan teknologi Blue Link Car Finder pada sedan mewah Genesis. Dengan bantuan ciri tersebut, Kevin memastikan anak perempuannya dapat pulang ke rumah dengan selamat ketika keluar dengan teman lelakinya.
Iklan itu diarahkan oleh pelakon, pengarah, penulis dan penerbit terkenal, Peter Berg. Sejak disiarkan di laman YouTube pada 3 Februari lalu, ia telah ditonton hampir 14 juta kali.
Sudah memasuki tahun ke-28, USA TODAY menghasilkan Ad Meter untuk menilai maklum balas penonton terhadap iklan-iklan Super Bowl. Ia juga menjadi standard untuk pengiklan program sukan terkenal itu.
Saksikan iklan yang kelakar ini di sini!