Buletin

PROTON LANCAR INISIATIF SOLAR DI TG MALIM. BOLEH JIMAT BIL ELEKTRIK LEBIH RM4 JUTA SETAHUN

PROTON telah melancarkan inisiatif tenaga solar di kilang Tanjung Malim. Projek itu akan membantu Proton mengurangkan pelepasan karbon dioksida sebanyak 11,536 tan setahun sambil menjimatkan kos utiliti. 

Gabungan tenaga yang dijana daripada kemudahan panel solar dwi-muka di tempat letak kereta terbesar di Malaysia dan panel solar yang dipasang di atas bumbung kilang ialah 12MWp (puncak Megawatt). Ia cukup untuk memenuhi sehingga 25 peratus  penggunaan kuasa kilang berkenaan.

Tempat letak kereta berpusat PROTON yang meliputi kawasan seluas 23.4 ekar menyediakan ruang parkir untuk 2,880 kereta. Ia   digunakan sebagai tempat transit untuk kereta yang dikeluarkan di Tanjung Malim sebelum diedarkan kepada pengedar dan cawangan di seluruh negara. 

Ruang itu kini diliputi oleh 20,544 panel solar dwi muka yang boleh menjana tenaga daripada cahaya matahari secara langsung

pada bahagian atas, pantulan cahaya matahari dari permukaan jalan dan kereta yang diletakkan di bawah panel. Ia juga menyediakan tempat berteduh bagi meletakkan dan melindungi kereta yang baru dihasilkan daripada unsur-unsur kerosakan.

Dibina dan ditauliah oleh Kumpulan Pekat dan rakan bersekutunya MFP Solar, kemudahan panel solar tempat letak kereta itu boleh menjana 9MWp. Ia merupakan yang terbesar di Malaysia dan antara semua pengeluar kereta di negara ini.

Panel solar itu juga berpotensi untuk mengurangkan bil elektrik PROTON sebanyak RM4.39 juta setahun dengan penjimatan sebanyak RM1.46 juta melalui 3MWp yang dijana oleh panel yang dipasang di atas bumbung kilang.

PROTON melancarkan PROTON Green Wheel dan Polisi Hijau pertamanya pada 2015 yang terdiri daripada 5 fasa. Fasa 1 bermula dengan perlaksanaan Sistem Pengurusan Tenaga di kilang pengeluaran dan ibu pejabatnya untuk mengumpul dan menilai data penggunaan.

Selepas pengumpulan dan analisis data tenaga selama dua tahun, PROTON mewujudkan garis dasar tenaga di seluruh kilang dan pejabat yang memberikan gambaran yang lebih mendalam untuk mengurangkan penggunaan tenaga.

Fasa 2 terdiri daripada langkah-langkah Kecekapan Tenaga di mana beberapa projek penjimatan tenaga telah dilaksanakan. Ini termasuklah pemasangan lampu LED, penggantian penyejuk dengan penyejuk magnet dan menggunakan unit pemampat induk untuk menyegerakan bekalan udara termampat bagi memadankan permintaan semasa pada setiap bahagian pengeluaran.

Fasa 3 pula memberi tumpuan kepada Pengurusan Sisa dan Air. Untuk mencapai matlamat itu, PROTON melaksanakan sistem di mana air kitar semula digunakan untuk menara penyejuk pemampat dan menambah air untuk tangki air pili (hydrant) di kilang Tanjung Malim.

Fasa 4 ialah penggunaan tenaga boleh diperbaharui melalui loji tenaga solar. Manakala Fasa 5 bertujuan mendigitalkan semua data tenaga PROTON dalam “cloud server” untuk memperkenalkan teknologi AI dan Analitis Data Besar bagi membolehkan pengurusan tenaga syarikat dengan ramalan penggunaan tenaga dan langkah preskriptif untuk mengurangkan penggunaan tenaga di semua kilang dan kemudahan pejabat.

Dalam tempoh lima tahun dari 2015 hingga 2020, inisiatif ini telah mencapai penjimatan bil tenaga sebanyak RM20 juta atau bersamaan 55,000 MWj dan lebih 40,000 tan pengurangan pelepasan karbon dioksida ke udara.

Google ads
"
"
Back to top button