
SUZUKI GSX-8 TYPE-S BAKAL DEBUT DI EICMA 2025?
Suzuki mencuri tumpuan apabila memperkenalkan Suzuki GSX-8S tiga tahun lalu ketika di EICMA 2022. Kemunculan GSX-8S menandakan permulaan baharu kilang Hamamatsu yang beralih dari enjin V-Twin kepada enjin parallel-twin.

Selain itu, reka bentuk GSX-8S sebagai motosikal naked moden juga memenuhi cita rasa peminat dua roda masa kini.
Bagaimanapun, Suzuki akan menghadirkan berita gembira untuk peminat motosikal gaya neo-retro apabila bakal memperkenalkan model terbaru menerusi GSX-8 Type S.

Memetik laporan Young-Machine, Suzuki buat julung kalinya akan menghasilkan model yang akan bersaing dengan Yamaha XSR700/XSR900 serta Kawasaki Z650RS/Z900RS. Difahamkan, model baharu ini akan membuat kemunculan rasmi di EICMA 2025 yang dijadualkan berlangsung di Milan pada November.

Meskipun info terperinci masih lagi samar namun hampir pasti GSX-8 Type S ini akan dipacu enjin sama yang menggerakan GSX-8S iaitu unit platform parallel-twin 776cc DOHC yang berupaya menjana 82hp pada 8,500rpm dan 78Nmpada 6,800rpm.
Karakter enjin ala V-Twin ekoran disumbangkan firing order 270-degree crank pastinya menjadikan pengalaman menunggang GSX-8 Type S lebih menarik.
Selain itu, reka bentuk retro cukup menonjol di bahagian lampu, tangki, tempat duduk dan lampu belakang. Menariknya, reka bentuk yang digambarkan Young-Machine ini mirip Suzuki SV650X.