
INFINITI QX60 2026 – TAMPIL DENGAN TRENKUASA BAHARU DAN SISTEM AUDIO YANG LEBIH LUNAK DIDENGAR
Model Infiniti QX60 ini barangkali kurang dikenali di pasaran serantau. Model SUV dengan barisan tiga tempat yang dikhususkan untuk menembusi pasaran Amerika Syarikat ini sebetulnya agak baru juga di pasaran dengan pengenalan generasi kedua pada tahun 2021 yang lalu.
Dan kini Infiniti merasakan sudah sampai ketikanya untuk mereka memberikan nafas baharu ke SUV ini. Pereka bentuk Infiniti telah memberikan rupa baharu yang lebih segar dan lebih menarik melalui rekaan baharu terutamanya membabitkan gril yang menggabungkan tema reka bentuk Artistry in Motion dan diilhamkan oleh bentuk bersilang hutan buluh.

Logo Infiniti di bahagian tengah gril kini tampil dengan corak tiga dimensi baharu yang bercahaya. Bampar bawah telah digayakan semula supaya gril hampir kelihatan terapung, manakala lampu DRL telah dibahagikan kepada elemen yang lebih kecil,rekaan yang sama terdapat pada model QX80.
Untuk varian Pure, penggunaan roda aloi bersaiz 20 inci adalah baharu digunakan bagi menggantikan roda aloi bersaiz 18 inci sebelumnya. Roda aloi bersaiz serupa juga digunakan untuk varian Luxe juga bagi menggantikan roda aloi bersaiz 18 inci dengan reka bentuk lima jejari dengan elemen mesin tambahan yang digabungkan untuk menambah kecanggihan. Untuk varian Autograph juga turut menggunakan roda aloi bersaiz 20 inci yang turut direka semula.

Untuk model tahun 2026, Infiniti QX60 akan turut menampilkan warna baharu Deep Emerald yang kelihatan lebih eksklusif. Warna lain yang turut diberikan untuk model Infiniti QX60 termasuklah Black Obsidian, Deep Bordeaux, Grand Blue, Graphite Shadow, Harbour Grey, Mineral Black, Moonbow Blue, Radiant White dan Warm Titanium.
Pada ruangan kabin terdapat dwi paparan bersaiz 12.3 inci dengan setiap satunya berfungsi untuk paparan digital kluster meter dan untuk sistem infohiburan yang lengkap dengan fungsi Google Assistant.
Malah, untuk memberikan bunyi yang lebih premium, Infiniti QX60 ini turut dilengkapi dengan sistem pembesar suara Klipsch yang menghasilkan kualiti audio yang lebih enak.

Sebagai sebuah SUV keluarga, pembeli diberikan pilihan untuk mendapatkan sama ada tujuh atau enam tempat duduk yang pastinya lebih eksklusif melalui penggunaan tempat duduk kapten di barisan kerusi kedua.
Trenkuasa model ini diserahkan kepada enjin 2.0 liter turbo yang mampu menghasilkan output maksimum sehingga 268 HP dan 388 Nm yang cukup responsif untuk julat rpm rendah dan sederhana yang digandingkan dengan kotak gear auto sembilan kelajuan.
BACA : INFINITI QX80 2025 – SUV PREMIUM YANG LEBIH SASA DAN BERGAYA
BACA : INFINITI Q50S RED SPORT – SEBUAH “GT-R” DENGAN EMPAT PINTU!


