Buletin

HARGA RASMI MG S5 EV DIUMUMKAN – BERMULA RM115K, JARAK GERAK SEHINGGA 430KM

Selepas pengumuman awal di Malaysia Autoshow minggu lalu, MG Motor Malaysia kini mendedahkan harga rasmi untuk model elektrik terbaharu mereka, MG S5 EV.

SUV elektrik ini direka untuk memenuhi keperluan pemandu moden, sama ada untuk kegunaan harian di bandar mahupun pengembaraan luar kota.

Menggunakan pacuan roda belakang, MG S5 EV membawakan karakteristik pemanduan yang responsif dan bertenaga. Pelanggan boleh memilih antara dua varian bateri.

Satu dengan kapasiti 49kWh yang mampu menjelajah sejauh 340km mengikut standard WLTP, dan satu lagi versi dengan bateri lebih besar 62kWh, menawarkan jarak sehingga 430km dengan satu cas penuh.

Pengecasan semula juga tidak menjadi isu, dengan sokongan pengecas pantas DC sehingga 150kW serta pengecasan AC 6.6kW.

Tambahan pula, ciri Vehicle-to-Load (V2L) membolehkan kenderaan ini berfungsi sebagai sumber kuasa mudah alih untuk pelbagai peranti, manakala sambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar memastikan hiburan dan navigasi sentiasa di hujung jari.

Bahagian dalamannya menyerlah dengan paparan utama bersaiz 12.8-inci, disertai panel instrumen digital 10.25-inci dan sistem kawalan suara yang mesra pengguna.

Aspek keselamatan juga diberi keutamaan, dengan tujuh beg udara serta set lengkap sistem bantuan pemandu (ADAS) untuk perlindungan tambahan di jalan raya.

Bagi varian bateri 62kWh, pelanggan turut menerima ciri-ciri premium seperti rim aloi 18-inci, bumbung suria panoramic, pintu belakang berkuasa, serta tempat duduk kulit berlubang dengan pelarasan elektrik dan pemanas stereng.

Selain itu, sistem audio enam pembesar suara dan kamera 360 darjah turut melengkapkan pakej keselamatan dan hiburan.

MG S5 EV ditawarkan dalam lima pilihan warna menarik:

  • Arctic White
  • Monument Silver
  • Camden Grey
  • Dynamic Red
  • Elegant Latte

MG S5 EV menampilkan rekaan dalaman kombinasi fabrik dan kulit dalam tema gelap, sesuai dengan citarasa kontemporari.

Perincian harga bagi MG S5 EV adalah seperti berikut:

  • Com: RM115,900
  • Com Long Range: RM125,900
  • Lux Long Range: RM135,900

Bagi mereka yang membuat tempahan awal bakal menerima pengecas rumah 7kW (wallbox) secara percuma dan penjimatan sehingga RM6,000.

GALERI:

Google ads
Back to top button