Buletin

ELON MUSK NAK BERHENTI KERJA, JADI INFLUENCER MEDIA SOSIAL

Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, yang juga merupakan individu terkaya di dunia, Elon Musk baru-baru ini memuat naik satu ciapan di laman Twitter dengan menyatakan bahawa beliau mahu berhenti kerja dan menjadi pesohor media sosial (influencer) sepenuh masa, lapor akhbar New York Post.

“Saya terfikir mahu berhenti kerja dan menjadi pesohor media sosial sepenuh masa. Apa pendapat anda?” demikian ciapan ditulis Musk yang tidak disusuli dengan sebarang penjelasan.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada Musk benar-benar serius mahu berhenti kerja.

Beliau yang juga pengasas syarikat kenderaan angkasa, SpaceX, dalam satu persidangan pada Januari lalu ada menyebut mengenai jangkaannya untuk menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Tesla selama ‘beberapa tahun’.

“Adalah bagus untuk mempunyai lebih banyak masa senggang berbanding hanya bekerja siang dan malam, bermula dari waktu saya bangun sehingga tidur kembali, tujuh hari seminggu,” katanya.

Bulan lalu, Musk bertanya kepada para pengikutnya di Twitter sama ada beliau harus menjual 10 peratus sahamnya dalam Tesla, dengan majoriti daripada pengikutnya bersetuju.

Musk sejak itu telah menjual saham bernilai hampir AS$12 bilion (RM50.55 bilion) dalam syarikat pengeluar kenderaan elektrik tersebut. – AGENSI 

Google ads
Back to top button