
INI 7 MODEL TERBAIK SEMPAT DIPANDU UJI PADA TAHUN 2021
Rasanya, masih belum terlambat untuk saya mengucapkan selamat tahun baru kepada semua penyokong setia Mekanika Malaysia.
Tahun 2020 dan 2021 sememangnya cukup mencabar buat semua, terutama akibat dibadai impak wabak COVID-19 dan terkini, musibah banjir yang masih melanda beberapa buah negeri di Malaysia. Diharapkan, 2022 menjadi tahun reset dan lebih baik untuk kita semua. Amin…
Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara jelas merencatkan banyak perancangan pengeluar kenderaan tempatan. Banyak sekali acara terpaksa dibatalkan ataupun ditunda tarikhnya. Kalau ada pun, suasananya sudah jauh berbeza berbanding zaman sebelum pendamik.
Biarpun begitu, saya bersyukur kerana masih diberi peluang untuk memandu uji banyak model baharu sepanjang tahun 2021. Justeru, di sini saya pilih 6 model yang saya fikir terbaik dan sempat dipandu uji sepanjang tahun lepas.

HONDA CIVIC FE
Menjadi model paling laris Honda, Civic yang mula diproduksi sejak tahun 1972 sudahpun memasuki generasi ke-11. Dikenali juga sebagai Civic FE, sedan ini menerima perubahan ketara pada bahagian dalaman dan luarannya.
Bakal dilancarkan secara rasmi tidak lama lagi, saya sempat memandu uji Civic FE di South Track Litar Antarabangsa Sepang. Hanya akan ditawarkan dengan enjin 1.5 liter turbo VTEC, kuasa enjin tersebut telah ditingkatkan menjadi 182PS dan tork 240Nm berbanding model sebelumnya.
Selain kuasa enjin, satu lagi perkara yang membuatkan ramai media tak dapat tidur lepas memandu Civic FE ialah kemantapan pengendaliannya. Maklum balas sterengnya tepat, tayar Michelin PS4 yang mencengkam dan breknya nyata harmoni untuk membuatkan pemandu tersenyum setiap kali memandunya.
Memang jauh beza kalau dibandingkan dengan Civic ketam dan pesaing utamanya. Pandu pula di Litar Sepang, syok betul. Nilai sedan itu ditingkatkan lagi dengan rangkaian penuh sistem keselamatan Honda SENSING.
Civic FE dijangka dilancarkan pada suku pertama tahun ini. Ia dikatakan bakal hadir dalam tiga varian dan harganya pula mungkin mahal sedikit berbanding Civic ketam. Apa pun, kita tunggu sahaja pelancarannya nanti.

TOYOTA COROLLA CROSS
UMW Toyota Motor memulakan tahun 2021 dengan sesi pandu uji crossover terbaharunya, Corolla Cross ke Cyberjaya. Ia disifatkan sebagai model penting untuk Toyota bersaing dalam pasaran crossover segmen B yang sejak sekian lama dimonopoli oleh Honda HR-V.
Mengantikan C-HR, Corolla Cross menawarkan lebih praktikaliti dan lebih murah. Jentera itu tampil dengan rekaan berkotak dan kurang dramatik berbanding C-HR. UMW Toyota Motor pada awalnya menawarkan varian G sebelum varian lebih lengkap V, diperkenalkan kepada pengguna tempatan.
Corolla Cross menyerlahkan kualiti pengendalian dengan penggunaan platform TNGA. Keseronokan memandu turut disumbangkan oleh padanan enjin NA bersesaran 1.8 liter berkuasa 139PS/172Nm bersama kotak gear CVT tujuh kelajuan. Sama seperti yang ada pada Corolla sedan.
Walaupun SUV ini 40kg lebih berat berbanding Corolla sedan, anda tidak akan rasa ia kekurangan nafas ketika memandu. Talaan rangkaian kuasa membuatkan tidak timbul sebarang masalah lag, walaupun ketika hendak memotong kenderaan lain di lebuh raya.
Penggunaan sistem suspensi jenis torsion beam pada roda belakang (berbanding double wishbone pada C-HR) memberi sedikit bunyi kurang menyenangkan kepada penumpang belakang. Tetapi, tidaklah teruk sangat. OK jer sebenarnya.
Harga Corolla Cross CKD bermula RM123,000 untuk varian 1.8G, RM129,000 (varian 1.8V) dan RM137,000 bagi varian tertinggi, 1.8 Hybrid yang bakal dilancarkan secara rasmi tidak lama lagi.

PORSCHE TAYCAN
Porsche Taycan menjadi pengalaman pertama saya memandu sebuah kereta elektrik sepenuhnya. Selepas memandunya hampir setengah hari di South Track, Litar Antarabangsa Sepang, barulah saya faham kena minat pengguna mula beralih kepada EV.
Sesiapa sahaja pasti akan teruja dengan kuasa tork yang mampu ditawarkannya. Kuasanya yang serta-merta sebaik sahaja pedal ditekan, kualiti pengendalian padu dan maklum balas stereng membuatkan anda tidak kisah untuk memandu Taycan sepanjang hari di SIC.
Ciri Launch Control yang memberikan anda sensasi G-Force tidak ada pada mana-mana kereta lain. Ia seperti menaiki roller-coaster, tetapi dalam setting yang lebih terkawal dan ruang kabin yang begitu futuristik. Bunyi motor elektrik yang sukar untuk saya gambarkan dengan kata-katanya membuatkan anda seperti berada di masa depan.
Taycan merupakan antara EV terawal yang ditawarkan oleh pengedar sah di Malaysia. Sime Darby Auto Performance (SDAP) kini menawarkan empat varian Taycan pada harga bermula RM585,000. Jika mahukan gayaan sebuah wagon, pilih sahaja Taycan Turismo dengan harga lebih tinggi iaitu bermula RM645,000 seunit.

HYUNDAI STARIA
Ramai yang tidak menyangka Hyundai Sime-Darby akan membawa masuk MPV mewah ini ke Malaysia, hanya selepas beberapa bulan ia dilancarkan di pasaran global. Hyundai Staria menarik minat ramai menerusi rekaan luarannya yang begitu futuristik.
Lihat sahaja pada bahagian hadapan dengan lampu posisi dan DRL nipis, lampu utama diletakkan secara meegak dan gril radiator lebar berwarna merah atau gangsa. Rekaan yang tidak konvensional itu diteruskan pada bahagian sisi dengan cermin besar. Manakala belakang diserlahkan dengan butiran lampu LED yang dipanggil sebagai
Disasarkan untuk menjadi pesaing kepada Toyota Alphard/Vellfire, Staria sebenarnya mempunyai saiz yang jauh lebih besar. Ruang dalamannya boleh menempatkan tujuh orang penumpang dengan selesa. Kerusi baris kedua
Staria menggunakan khidmat enjin turbo diesel CRDi bersesaran 2.2 liter yang mampu menghasilkan kuasa 177PS dan tork 431Nm. Kuasa itu kemudian disalurkan ke roda belakang menerusi kotak gear automatik 8 kelajuan.
Pertama kali memandu Staria, rasa cuak memang ada kerana saiznya yang cukup besar. Namun, lama kelamaan perasaan itu hilang kerana ia sebenarnya mudah dikendalikan. Ditambah pula dengan sensor pada keliling kenderaan yang membuatkan pemandu lebih peka dengan persekitarannya.
Hadir dalam satu varian iaitu Premium sahaja, Staria ditawarkan pada harga bermula RM358,888 seunit. Pelanggan yang sudah membuat tempahan bakal menerima MPV mereka pada suku pertama atau kedua tahun ini.

SUZUKI SWIFT SPORT
Selepas beberapa bulan berteka-teki, akhirnya Suzuki kembali ke Malaysia di bawah naungan Naza Easteran Sdn. Bhd. Model pertama yang dilancarkan ialah Suzuki Swift Sport, sebelum diikuti oleh SUV 4×4 dambaan ramai, Jimny.
Dikenali sebagai sebuah jentera pocket rocket, prestasi Swift Sport sememangnya tidak mengecewakan. Kuasa yang dijana oleh enjin turbo 1.4 liter Booster Jet bersama padanan kotak gear automatik enam kelajuan boleh membuatkan sesiapa sahaja ketagih untuk menekan pedal minyak.
Dengan badan hanya seberat 970kg, platform baharu Heartect, maklum balas stereng yang tepat dan talaan suspensi sedikit keras, inilah jentera yang mahu anda pandu ketika melayan selekoh pada kelajuan tinggi.
Swift Sport ialah jentera yang tepat jika anda tidak kisah dengan tahap NVH kabin biasa-biasa, rekaan papan pemuka yang ringkas dan tiada ciri-ciri fancy yang lain. Kamera undurnya pun tidak cerah mana, tapi bolehlah daripada takde langsung.
Sebagai model CBU dari Jepun, harganya tidaklah murah iaitu sekitar RM140,000. Tetapi, saya jamin anda akan gembira setiap kali memandunya.

PERODUA MYVI FACELIFT 2021
Rasa macam berdosa besar pula kalau tidak masukkan model King ini dalam senarai. Perodua menutup tirai tahun 2021 dengan pelancaran model paling pentingnya, Myvi dan disusuli bersama sesi pandu uji ke Johor Bahru pada Disember lalu.
Ini merupakan model facelift, tetapi Myvi 2021 hadir dengan banyak penambahbaikan yang signifikan. Selain reka bentuknya yang kini banyak garis-garis tajam, perhatian lebih terarah kepada sistem keselamatan yang dipasang pasanya.
Myvi kini dilengkapi sistem keselamatan ASA 3.0. Dikenali sebagai Perodua Smart Drive Assist (PSDA), ia merangkumi ciri-ciri seperti Adaptive Cruise Control (ACC), Lane Keep Assist (LKA), Pre-Collision Warning (PCW), Lane Departure Warning (LDW), Lane Departure Prevention (LDP), Blind Spot Monitor (BSM), Rear Cross Traffic Alert (RCTA), Auto High Beam (AHB) dan Adaptive Driving Beam (ADB). Semua ini membuatkan Myvi antara model paling selamat dalam julat harganya.
Selain sistem keselamatan, Perodua turut menukar transmisi automatik empat kelajuan kepada D-CVT yang lebih cekap dan menjimatkan bahan api.
Selepas beberapa hari memandu Myvi, harus diakui bahawa ia merupakan sebuah jentera kompak yang lengkap serba serbi. Maka, tidak hairanlah jika Myvi akan terus popular dan sudah terjual lebih 1.3 juta unit sejak tahun 2005.

PEUGEOT 3008/5008 ALLURE
Selepas mendapat hak eksklusif untuk memasang dan memasarkan kenderaan jenama Peugeot di Malaysia, Bermaz Auto Alliance Sdn. Bhd. tidak mengambil masa lama untuk mengadakan sesi pandu uji model CKD terbaharunya iaitu 3008 dan 5008.
Jarak sesi pandu uji yang memakan masa kurang sehari itu dekat sahaja, cuma ke Genting Highlands. Namun, ia sudah cukup untuk mengubat kerinduan kepada SUV dari Perancis ini. Model facelift tersebut kini tampil dengan rekaan luaran terutama gril hadapan yang lebih kompleks dan agresif.
Biarpun dibina di atas platform yang sama, 3008 dan 5008 dibezakan menerusi jumlah tempat duduk. Ruang kargo untuk 5008 juga lebih besar berbanding 3008 yang menawarkan lima tempat duduk.
Kedua-dua model itu menggunakan enjin yang sama iaitu enjin 1.6 turbo Twin Scroll Turbo High Pressure (THP) berkuasa 166PS dan tork 240Nm.
Bagi sesiapa yang belum pernah memiliki sebuah Peugeot, anda pasti menyukai rekaan dalamannya yang kemas dan mewah. Dipanggil i-Cockpit, ruang itu hadir dengan skrin sentuh bersaiz 10 inci, barisan butang kawalan seperti piano, stereng bersaiz kecil dan tuil gear yang cantik.
Begitulah senarai enam buah kereta terbaik yang sempat saya pandu uji sepanjang tahun 2021. Saya yakin dan tidak sabar untuk memandu uji lebih banyak kereta baharu pada tahun 2022.
- BACA: PANDU UJI: HONDA CIVIC FE 2022. PERCAYALAH, ANDA AKAN SUKA SEDAN INI
- BACA: PANDU UJI: SUZUKI SWIFT SPORT 2021. POCKET ROCKET YANG TIDAK PERNAH MENGECEWAKAN
- BACA: REBIU: HYUNDAI STARIA PREMIUM. CUKUP MEWAH NAK LAWAN ALPHARD/VELLFIRE?
- BACA: TEMPAHAN TOYOTA COROLLA CROSS CKD KINI DIBUKA. 3 VARIAN, BERMULA RM123K