
PANDU UJI: SUZUKI SWIFT SPORT 2021. POCKET ROCKET YANG TIDAK PERNAH MENGECEWAKAN
Apabila Suzuki mengambil keputusan untuk keluar dari pasaran Malaysia pada Mei 2016, tidak ramai yang menyangka jenama itu akan kembali memeriahkan pasaran automotif negara.
Dalam tempoh ketiadaan tersebut, Suzuki ada melancarkan beberapa model menarik seperti Swift, Jimny generasi baharu dan Ignis di peringkat global. Biarpun pengguna di Malaysia boleh membelinya menerusi grey importer, namun pastinya ia berbeza daripada membeli daripada pengedar sah. Ye lah, kalau beli dengan mereka, mana nak ada jaminannya.
Sebab itulah, berita Naza Eastern menjadi pengedar rasmi Suzuki di Malaysia diterima baik oleh pengguna tempatan. Ini kerana mereka boleh memiliki model-model terkini Suzuki dengan program jaminan dan perkhidmatan selepas jualan yang lebih meyakinkan.
Naza Eastern memulakan langkah dengan memperkenalkan Swift Sport. Hadir dalam satu varian dengan transmisi automatik enam kelajuan, jentera yang cukup dikenali dengan kelincahan dan kuasa itu ditawarkan pada harga RM139,900 seunit.

Betul, harga itu bukanlah murah. Tetapi, Swift Sport yang diimport dari Jepun itu unik kerana ia tidak bersaing secara langsung dengan mana-mana model di luar sana. Lagi pun, ia boleh membuatkan anda tampil berbeza dengan orang lain.
Sekali pandang, kita sudah boleh melihat bahawa generasi ketiga ini menerima banyak perubahan berbanding model terdahulu. Biarpun begitu, ia masih mengekalkan DNA rekaan Swift yang kita semua suka sejak dahulu lagi.
Jika dibandingkan dengan Swift biasa, versi Sport dilengkapi gril radiator honey comb bersama kemasan gentian karbon pada bahagian bar di tengahnya, lampu kabus di dalam perumah berwarna hitam dan lips hadapan juga dengan kemasan gentian karbon.
Kemasan gentian karbon hitam itu diteruskan lagi pada skirting sisi dan bahagian bawah bampar belakang. Nak bagi lagi sporty, jentera tersebut didatangkan dengan ekzos berkembar yang memang berfungsi dan bukan sekadar wayang.

Jentera pocket rocket itu dijana oleh enjin turbo 1.4 liter Booster Jet yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 140hp dan tork 230Nm. Kuasanya seperti tidak pernah habis, sedia memberi keterujaan setiap kali pendikit minyak ditekan.
Ia banyak dibantu oleh oleh platform baharu Heartect baharu yang lebih tegar. Malah, jentera itu cukup ringan, cuma 970kg sahaja. Ditambah dengan maklum balas stereng EPS yang tepat dan setting suspensi sporty, apa lagi yang anda nak?
Penukaran gear juga pantas, macam transmisi klac berkembar. Saya jamin, kereta kompak ini boleh membuatkan anda tersenyum sepanjang masa terutama ketika melalui jalan bengkang-bengok macam Karak. Kotak gear itu juga membolehkan anda melupakan transmisi manual yang ada ditawarkan di pasaran lain.
Berada dalam kabin, bunyi enjin dan angin boleh didengar dengan agak ketara, sekali gus membuatkan anda sedar bahawa ini bukan kereta biasa-biasa. Ini ialah karekter biasa Swift Sport. Tapi, bunyi itu tidaklah terlalu kuat sehingga boleh mengganggu anda melayan lagu kegemaran.

Bagi membezakan Swift Sport dengan varian biasa yang katanya akan dilancarkan nanti oleh Naza Eastern, ruang kabin diberi kemasan berwarna merah berkilat pada papan pemuka, panel pintu dan konsol tengah. Jahitan merah juga diberi pada stereng, tempat duduk dan tuil gear. Begitu sukan sekali.
Tempat duduk dengan bolster sisi itu memegang badan anda dengan selesa. Ia juga membantu untuk mengekalkan posisi badan ketika mengambil selekoh dalam kelajuan tinggi. Lebih menarik, tempat duduk berwarna hitam itu turut disulam dengan perkataan Sport pada penyandarnya.
Pemandu akan dihidangkan dengan dua paparan meter analog bersama gelung berwarna merah. Di tengahnya terdapat skrin multi-info yang memaparkan pelbagai maklumat seperti suhu, kedudukan gear, penggunaan bahan api, baki jarak, meter turbo dan bacaan G force.

Swift Sport mengetengahkan skrin sistem hibur bersaiz tujuh inci. Kalau dibandingkan dengan skrin sentuh pada kereta lain, ia bukanlah yang paling cantik atau tajam. Tanpa ciri arahan suara yang fancy, ia mudah digunakan. Malah, menyambungkan dengan ciri Apple CarPlay juga sangat senang.
Cuma, saya kurang berpuas hati dengan kualiti visual kamera undur yang dipaparkan. Dah nak masuk tahun 2022, ia sepatutnya jauh lebih baik.
Dengan harga mencecah RM140,000 pasti ramai yang komen baik beli itu, baik beli ini. Tetapi, harus ingat bahawa Swift Sport tidak mempunyai saingan secara langsung. Kalau mahukan sebuah pocket rocket yang boleh membuatkan anda tersenyum setiap kali memandunya, inilah dia. Tak payah cari yang lain dah.
- BACA: IKLANPILIHAN: POCKET ROCKET 90’S – SUZUKI SWIFT CULTUS 1.3 GTi!!!!
- BACA: #IKLANPILIHAN: SUZUKI SWIFT SPORT TERBARU!
- BACA: SUZUKI SWIFT DENGAN ENJIN EVO X!
- BACA: SUZUKI HAYABUSA RASMI TIBA DI MALAYSIA. 190PS, 300KM/J, RM111.2K SEUNIT
GALERI