Pandu Uji

PANDU UJI: HONDA CIVIC FE 2022. PERCAYALAH, ANDA AKAN SUKA SEDAN INI

Semalam, Mekanika dijemput untuk menghadiri sesi ujian model baharu yang bakal dilancarkan oleh Honda Malaysia, apa lagi kalau bukan Honda Civic. 

Sudah memasuki generasi ke-11, Civic sememangnya antara model sedan segmen C paling popular di negara ini. Jentera yang menerima pelbagai gelaran seperti mayat dan terkini ketam itu jelas membuktikan attachment peminat kereta tempatan terhadap Civic. 

Menggunakan kod nama FE dan sekali gus menggantikan model terdahulu iaitu FC, Civic 2022 membuat penampilan pertama di pasaran Amerika Syarikat pada awal tahun 2021. 

Kalau diikutkan jadual, Honda Malaysia dijadual melancarkan model ini secara rasmi lebih awal. Namun, disebabkan oleh kekangan akibat COVID-19, rancangan itu terpaksa ditunda hingga ke tahun hadapan. 

Setiap kali generasi Civic perlu ditukar, pasukan pereka bentuk pastinya berdepan tugas paling sukar. Bukan mudah untuk memenuhi ekspektasi pelanggan, pada masa sama memastikan rekaan Civic baharu tidak bosan dan selari dengan perkembangan semasa. 

Bagi Civic FE, Honda menggunakan konsep rekaan yang dikenali sebagai Sokai yang bermaksud segar. Ia dapat dibuktikan dengan reka bentuk yang dilihat lebih matang dan elegan berbanding Civic ketam. 

Penampilan sporty Civic ketam dikurangkan dengan rekaan hadapan tanpa sebarang kemasan krom. Sebaliknya, wajah Civic diserlahkan dengan gril dua lapis berwarna hitam, sepasang lampu utama LED bersama kemasan hitam di dalamnya, perumah lampu kabus berwarna hitam dan lips. 

Memandang dari arah sisi, anda akan nampak hud sedan ini lebih panjang. Ya betul, ini kerana tiang A telah dianjak sebanyak 3cm ke belakang. Profail sisi dikemaskan lagi dengan satu garis badan yang lurus dari belakang ke hadapan. 

Varian RS turut dipasang dengan perumah cermin sisi, hendal pintu, bingkai tingkap, antena jenis shark fin dan rim aloi bersaiz inci berwarna hitam. Rekaan baharu pada rim tersebut membuatkan penampilan Civic semakin menarik. 

Bahagian belakang menerima perubahan paling ketara dengan tiada lagi lampu LED berbentuk sepit ketam. Tetapi, lampu itu digantikan dengan lampu LED yang lebih nipis berbentuk L. Ruang dalaman lampu berkenaan turut digelapkan sedikit. 

Rekaan ringkas itu disempurnakan dengan bampar baharu, lengkap bersama sepasang reflektor, lips, spoiler berwarna hitam dan ekzos berkembar. Nice…

Kami tidak dibenarkan untuk berkongsi foto ruang dalaman Civic. Tetapi dah tahun 2021 ni, Google sahajalah. Apa yang susah sangat kan? Senang cakap, ruang kabinnya kini lebih mesra pemandu, mewah dan menampilkan susun atur cukup menarik. 

Papan pemukanya dilengkapi floating skrin, menggantikan skrin sebelum ini yang ditanam pada papan pemuka. 

Civic serba baharu ini dipandu uji di South Track Litar Antarabangsa Sepang (SIC). Saya memulakan sesi ujian dengan memandu sedan pesaingnya paling dekat, sebelum beralih kepada Civic ketam dan Civic FE. 

Memang ada perbezaan yang agak ketara di antara ketiga-tiga model itu dari segi pengendalian, posisi pemanduan, braking dan kuasa. Civic FE jelas mampu menawarkan pengendalian yang lebih tajam, sama ada ketika mengambil selekoh pada kelajuan tinggi, mahupun mengelak kon dalam ujian slalom. Semuanya dapat dilaksanakan dengan mudah tanpa sebarang drama.

Braking juga rasa lebih relax, tidak terlalu menggigit seperti pesaingnya. 

Jentera tersebut dijana oleh enjin VTEC turbo 1.5L yang telah dinaik taraf. Hasilnya, ia mampu menghasilkan kuasa sehingga 182PS dan 20Nm tork lebih tinggi berbanding model lama, kepada 240Nm. Penggunaan kotak gear CVT membolehkan kuasa dihantar ke roda hadpaan dengan lebih linear. 

Sebagai sebuah model penting, Civic didatangkan dengan sistem keselamatan Honda SENSING yang lengkap. Ia terdiri daripada sembilan ciri iaitu: 

  • Lead Car Departure Notification System (baharu) 
  • Adaptive Cruise Control (ACC)
  • Low-Speed Follow (LSF)
  • Lane Departure Warning (LDW)
  • Road Departure Mitigation (RDM)
  • Lake Keep Assist System (LKAS) 
  • Forward Collision Warning (FCW)
  • Collision Mitigation Braking System (CMBS)
  • Auto High Beam (AHB)   

Ciri keselamatan lain yang turut dipasang ialah Honda LaneWatch, enam beg udara, Vehicle Stability Assist (VSA), brek ABS, Auto Brake Hold (ABH), Emergency Stop Signal (ESS) dan banyak lagi. 

Manakala aspek kemudahan kepada pemandu dipertingkatkan dengan ciri Walk Away Auto Lock dan Remote Engine Start. 

Mekanika menjangkakan yang Honda Malaysia tidak akan menawarkan Civic FE dengan enjin aspirasi 1.8 liter NA. Sebaliknya semua varian dipasang dengan enjin turbo VTEC bersesaran 1.5L. 

Sama ada betul atau tidak jangkaan tersebut, sama-sama kita tunggu pelancaran rasminya nanti.  

GALERI

Google ads
Back to top button