REBIU: HYUNDAI STARIA PREMIUM. CUKUP MEWAH NAK LAWAN ALPHARD/VELLFIRE?
Kalau anda perasan, Hyundai-Sime Darby Malaysia (HSDM) cukup proaktif dalam memperkenalkan model-model baharu ke pasaran tempatan.
Terkini, HSDM melancarkan MPV mewah Staria Premium selepas hanya beberapa bulan diperkenalkan di peringkat global. Sebelum salah sangka, saya harus beritahu yang Staria tidak menggantikan satu lagi people mover Hyundai, Starex. Sebaliknya, MPV berkapasiti 11 tempat duduk itu akan terus dijual oleh HSDM seperti biasa.
Menurut HSDM, Staria Premium diperkenalkan untuk mengganggu status quo yang dipegang oleh Toyota Alphard dan Vellfire sejak sekian lama. Ye lah, kalau sebut sahaja pasal MPV mewah, model yang pasti kita ingat pastinya kedua-dua model daripada Toyota itu.
Beberapa hari sebelum majlis pelancarannya secara maya, Mekanika dijemput untuk menyertai sesi pandu uji ringkas MPV mewah pertama daripada Hyundai tersebut. Sesi pandu uji itu bagaimanapun sangat singkat, setiap media hanya berpeluang memandu kurang 20 minit sahaja seorang.
Biarpun begitu, pengalaman tersebut tetap membolehkan saya memberikan impresi awal terhadap Staria Premium.
Tarikan utama Staria pastinya rekaan luaran yang begitu futuristik, seolah-seolah sebuah kapal angkasa yang baru mendarat di bumi.
Wajahnya dibezakan dengan MPV lain di pasaran menerusi lampu posisi dan DRL LED yang melintang di bahagian atas logo Hyundai. Lampu utama pula diposisikan pada kiri dan kanan bampar dalam bentuk kiub-kiub Matrix LED. Rupa kapal angkasa diserlahkan lagi dengan rekaan gril dan panel bar berwarna hitam berkilat bersama corak 3D.
Melihat dari arah sisi, anda akan mulai sedar betapa besarnya MPV ini. Ia langsung tidak mempunyai garis badan yang berselirat. Cermin tingkap dengan bingkai itu juga cukup besar untuk memberikan rasa luas kepada setiap penumpangnya.
Rekaan bersegi-segi itu diteruskan pada rim dua tona bersaiz 18 inci yang dipadankan dengan tayar bersaiz 235/55R18.
Bahagian belakang pula tampil menarik dengan kiub-kiub LED yang dibahagikan kepada dua seksyen dan disusun secara menegak pada kedua-dua sisi. Sekali pandang, anda pasti teringat kepada lampu yang ada pada model elektrik Hyundai Ioniq 5.
Jangan tertipu, bahagian atas lampu LED yang dikenali sebagai Parametric Pixel itu sebenarnya hanya hiasan dan ia tidak menyala pun. Bagi menampakkanya lebih kemas, penggilap cermin belakang disorokkan di bawah spoiler. Apabila pintu belakang ini dibuka, ia menawarkan ruang yang agak luas untuk meletak bagasi.
Tetapi, apa yang menarik perhatian saya ialah saiz pintu belakang itu. Dah nampak macam awning rumah. Takde hal kalau setakat nak berteduh daripada matahari sementara nak angkat beg ke dalam ruang kargo.
Saya memulakan sesi pandu uji ini dengan memandu Staria Premium. Sebaik sahaja sahaja memegang sterengnya, saya semakin sedar bahawa saya sedang memandu sebuah MPV yang cukup besar dan perlu ekstra hati-hati.
Namun, perasaan bimbang itu tidak lama kerana jentera itu mudah dikendalikan dan posisi duduk boleh disesuaikan sebaik mungkin menerusi tempat duduk dibalut kulit dengan 12 talaan secara elektrik. Lagipun, ciri keselamatan yang ada sentiasa memberi input supaya anda sentiasa peka dengan keadaan sekeliling.
Pemandu dihidangkan dengan skrin LCD bersaiz 12.3 inci yang memang cantik. Cuma, ia kadangkala terhalang oleh stereng. Jadi, anda perlu melaras kedudukan stereng sebaik mungkin agar halangan itu jadi seminimum mungkin. Ciri Blind Spot Assist memang sangat membantu kerana setiap kali anda mengaktifkan lampu isyarat membelok sama ada kiri atau kanan, visual akan dipaparkan pada skrin LCD berkenaan.
Staria Premium menggunakan enjin turbo diesel bersesaran 2.2 liter yang sama seperti SUV Santa Fe. Cuma, ia telah ditala untuk memberikan hamburan kuasa lebih linear yang sesuai bagi sebuah MPV. Kuasa 177PS dan tork 431Nm itu kemudian disalurkan ke roda hadapan menerusi kotak gear 8-kelajuan automatik.
Anda tidak akan berasa jentera itu kekurangan kuasa, walaupun dinaiki oleh tujuh orang dewasa. Kuasa tork boleh dirasai serta-merta sebaik sahaja pendikit minyak ditekan dengan sedikit agresif.
Dengan badan yang hampir menyamai bas mini, jentera itu sememangnya memerlukan sistem brek yang bagus. Terbukti, Staria Premium dilengkapi sistem brek responsif dan menjanjikan jarak pemberhentian yang pendek.
Penggunaan butang D, R, N dan P untuk menggantikan tuil gear konvensional membolehkan ruang konsol tengah lebih lapang dan nampak kemas. Pada papan pemuka pula terletak skrin infohibur bersaiz 8-inci bersama butang dan dial fizikal yang mudah dicapai dan dioperasi.
Selepas memandu, saya beralih ke tempat duduk baris kedua. Inilah tempat duduk paling selesa dalam Staria Premium kerana selain dibalut dengan kulit Nappa yang lembut, ia juga hadir dengan ciri pelarasan secara elektrik. Jika rasa hendak berehat, tekan sahaja butang relaxation mode, penyandar akan dibaringkan dan perehat kaki dinaikkan sepenuhnya.
Kabin Staria Premium tampil mewah dengan kemasan kulit berwarna kelabu pada panel pintu. Jika anda kurang gemar dengan kombinasi warna yang digunakan pada model pandu uji ini, jangan bimbang kerana HSDM menawarkan pilihan warna lain seperti hitam, biru dan kelabu cerah.
Secara jujurnya, saya tidak pernah lagi jumpa MPV yang mempunyai ruang penyimpanan sebanyak Staria Premium. Tempat meletak barang boleh dijumpai hampir di seluruh kabin dengan saiz berbeza. Senang cakap, semua penumpang ada ruang tersendiri untuk menyimpan barang masing-masing.
Saya mengakhiri sesi pandu uji dengan duduk di kerusi baris ketiga sewaktu perjalanan pulang ke ibu pejabat HSDM di Ara Damansara. Berbeza dengan kerusi baris kedua, ia tidak boleh dibaringkan, tetapi boleh dianjak ke depan sedikit jika hendak meningkatkan ruang bagasi di belakang.
Apa yang saya perasan, walaupun kerusi digerakkan maksimum ke hadapan, ruang kaki masih sangat luas. Cuma, apa yang kurang best apabila duduk di di sana ialah anda akan merasa setiap ketidaksempurnaan jalan dengan agak ketara.
Staria Premium cuba untuk menjadi sebuah MPV mewah yang setanding dengan pesaingnya dari Jepun. Tetapi, ada beberapa ciri yang membuatkan ia kurang mewah seperti sepatutnya. Antara ciri yang menerima komen pedas daripada netizen ialah penggunaan tingkap sisi yang saling tak tumpah macam tingkap van tahun 1990-an.
Apa pun, kelebihan utama yang ingin ditawarkan oleh Staria Premium ialah ruang dalamannya yang sangat luas. Ini banyak dibantu oleh konfigurasi tujuh tempat duduk, berbanding di pasaran lain yang hadir dengan kapasiti 10 dan 11 tempat duduk.
Buat masa sekarang, HSDM memang tidak ada rancangan untuk membawa Staria dengan kapasiti tempat duduk begitu.
Persoalannya, adakah segala ciri yang ada memberi justifikasi untuk anda membayar harga bermula RM358,888 bagi sebuah Staria Premium? Bincangkan…
- BACA: HYUNDAI STARIA 2022 KINI DI MALAYSIA. MPV MEWAH 7 TEMPAT DUDUK, TURBO DIESEL CRDi, BERMULA RM358,888
- BACA: HYUNDAI STARIA-LOAD. HANTAR BARANG DENGAN BERGAYA
- BACA: NILAI JUALAN SEMULA KERETA TERPAKAI HYUNDAI KINI SETARA DENGAN MODEL JENAMA JEPUN
- BACA: SEGALANYA TENTANG HYUNDAI KONA EV. BAKAL DILANCARKAN Q4 2021?
GALERI