Buletin

INI SENARAI 10 KAPAL LAYAR MEWAH DI DUNIA. PALING MURAH RM849 JUTA, MAINAN HARTAWAN

Hartawan dari pelbagai negara tidak hanya melabur duit mereka dalam perniagaan sahaja. Mereka juga gemar mendapatkan aset peribadi bernilai ratusan juta seperti kereta, rumah agam dan kapal mewah.

Berikut adalah senarai kapal layar mewah dimiliki oleh hartawan yang bernilai berbilion ringgit. Bermula daripada kapal layar mewah Rising Sun, dimiliki oleh CEO Oracle sehinggalah ke Dilbar, yang berharga lebih RM30 bilion.

Rising Sun, RM849.1 juta

Superyacht Rising Sun bernilai AS$200 juta (RM849.5 juta) dan telah dibeli oleh CEO Oracle iaitu Larry Ellison pada 2004.

Menurut Club Yacht, eksekutif Geffen Records kemudiannya membeli semula Rising Sun pada 2010 yang juga memiliki sebuah lagi kapal layar bernama Pelorus yang pernah dikunjungi selebriti terkemuka seperti Oprah Winfrey.

Aviva, RM1.06 bilion

Aviva yang memiliki dimensi 323 kaki dan dibina pada 2017 mempunyai gelanggang tenis. Gelanggang tenis itu juga berfungsi sebagai padang bola sepak mini.

Aviva yang bernilai AS$250 juta (RM1.06 bilion) mengambil masa tiga tahun untuk dibina dengan hanya berkonsepkan saiz gelanggang tenis, menurut pengurus projek Aviva, Andreas Hering.

Octopus, RM849.5 juta

Kapal layar Octopus yang mempunyai keluasan 414 kaki dimiliki oleh pengasas bersama Microsoft, Paul Allen.

Octopus boleh memuatkan seramai 12 tetamu di 13 kabin berbeza selain dilengkapi ruang tarian serta panggung wayang.

Nilai Octopus? Kapal layar super ini berharga AS$200 juta (RM849.5 juta).

Radiant, RM1.2 bilion

Radiant, bernilai AS$300 juta (RM1.2 bilion) dimiliki oleh oligarki Rusia, Boris Berezovsky pada 2010. Memiliki keluasan 110 meter, Radiant boleh memuatkan sehingga 20 tetamu serta 44 kru.

Radiant juga dilengkapi salun kecantikan, gimnasium, kolam renang dan jakuzi.

Dubai, RM1.6 bilion

Seterusnya ialah Megayacht “Dubai”, yang dimiliki oleh Perdana Menteri Emiriah Arab Bersatu iaitu Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum.

Mempunyai dimensi 532 kaki, Architectural Digest melaporkan bahawa kapal layar mewah ini bernilai sekitar AS$400 juta (RM1.6 bilion).

Topaz, RM2.2 bilion

Nampak gayanya, timbalan perdana menteri Emiriah Arab Bersatu juga tidak mahu kalah dalam memiliki aset kapal layar.

Kapal layar milik Sheikh Mansour bin Zayed Al Nahyan ini diberi nama Topaz, dibina di Jerman dengan keluasan hampir 500 kaki.

Ia turut dilengkapi dengan kemudahan seperti pad helikopter, gymnasium, kolam renang serta panggung wayang. Sheikh Mansour juga merupakan pemilik kelab bolasepak Inggeris, Manchester City.

Eclipse, RM2.5 bilion

Kapal layar Eclipse sepanjang 533 kaki bernilai AS$600 juta (RM2.5 bilion) ini pula dimiliki oleh bekas pemilik kelab bolasepak Chelsea, Roman Abramovich.

Eclipse merupakan salah satu daripada 16 kapal layar dan kapal yang dimiliki oligarki Rusia itu.

Azzam, RM2.5 bilion

Menurut Architectural Digest, Azzam merupakan kapal layar terbesar dan salah satu kapal layar terpantas di dunia. Memiliki panjang 590 kaki, ia mampu bergerak pada 35 batu sejam.

Azzam dimiliki oleh keluarga Sheikh Khalifa bin Zayed bin Sultan Al Nahyan yang merupakan Presiden Kedua Emiriah Arab Bersatu sebelum kematiannya pada Mei 2022.

Al Said, RM2.5 bilion

Kapal layar Al Said telah dibeli oleh bekas Sultan Oman iaitu Sultan Qaboos bin Said pada 2008 pada harga AS$600 juta (RM2.5 bilion).

Sepadan dengan nilainya, Al Said boleh bergerak sehingga 25 batu sejam dan dilengkapi dengan dewan konsert yang boleh memuatkan orkestra 50 orang.

Dilbar, RM3.1 bilion

Terakhir dalam senarai paling mahal ini ialah kapal layar Dilbar bernilai AS$735 juta (RM3.1 bilion) yang dimiliki oleh oligarki Rusia, Alisher Usmanov.

Walau bagaimanapun, pada April 2022, kapal layar itu telah disita di Jerman. Polis persekutuan Jerman berkata mereka merampas kapal layar itu selepas mendapati ia “menyorok di luar pesisir”.

Pihak berkuasa juga mengatakan bahawa pemilik sebenar kapal tersebut ialah adik perempuan Usmanov. Kini, kapal layar mewah itu masih berada di Hamburg, Jerman.

Google ads
Back to top button