Buletin

INI CARA FORD AUSTRALIA – PROGRAM REKABENTUK GRADUAN MUDA

Satu berita menarik yang kami terima ialah Ford Australia mengesahkan ia akan merekrut 23 graduan untuk menyertai syarikat mereka dalam pelbagai bidang. Antaranya kejuruteraan, rekabentuk dan juga pemasaran. Kesemua mereka akan ditempatkan di fasiliti Ford di Victoria.

Ini merupakan kali pertama mereka mengambil graduan rekabentuk baru untuk ditugaskan di pusat rekaan Broadmeadows yang merupakan satu cabang penting Ford Australia. Selain daripada itu mereka juga mempunyai pusat pembangunan di Geelong dan juga Lara. Ia juga diharapkan dapat menggiatkan lagi rancangan transfomasi Ford.

Jika dicampur dengan jumlah ini, Ford bakal mempunyai 59 graduan tempatan bekerja dengan Ford Australia dalam pelbagai bidang.  Menurut presiden dan juga CEO Ford Australia, Graheme Wickman, para graduan ini merupakan aset untuk pembangunan produk-produk utama mereka seperti Ford Ranger dan Everest di Australia. Di peringkat global pula, Ford merancang untuk mengeluarkan 20 model baru ataupun facelift menjelang tahun 2020.

ford australia graduan (2)

Ini merupakan satu taruhan yang besar diambil oleh Ford dalam merekrut bakat-bakat baru untuk mereka dan menghasilkan produk mereka. Ini kerana rata-ratanya bukan nama besar dalam industri dan baru sahaja menamatkan pengajian.

Namun untuk berjaya, kita semestinya berfikir di luar kebiasaan. Persaingan dunia automobil yang semakin sengit bermakna anda mesti berfikir dari segenap sudut untuk berjaya. Idea-idea baru harus dicari untuk menggantikan idea-idea lama yang sudah ditelan zaman.

Alangkah baiknya jika senario ini juga berlaku di negara kita, Malaysia. Berbanding Australia, kita juga tidak ketandusan graduan-graduan kreatif yang mampu menghasilkan rekaan menarik jika diberi peluang. Sebagai sebuah negara pengeluar kereta, Malaysia juga sewajarnya mengambil langkah yang sama dengan menawarkan tempat kepada jurutera-jurutera muda yang berbakat.

graduan australia ford

Walaupun ada yang ditawarkan bekerja di syarikat-syarikat kereta ternama namun dalam bidang yang agak terhad. Malah ada jurutrera-jurutera muda tempatan yang terpaksa berhijrah keluar untuk menyumbang idea-idea mereka yang sepatutnya digunapakai oleh syarikat tempatan. Tak ke rugi tu?

Bahagian rekabentuk khususnya masih lagi dikuasai kakitangan lama yang sudah mempunyai puluhan tahun pengalaman. Jika difikirkan, langkah Ford mengambil muka-muka baru ini amat dinamik kerana mereka mampu menyumbang idea-idea baru yang segar untuk rekabentuk sesebuah model.

Bahkan jika diperhatikan, model-model yang paling laris di pasaran seperti Perodua Myvi, Proton Saga, Toyota Vios ataupun Honda City ratanya adalah disasarkan untuk golongan muda ataupun yang baru bekerja. Semestinya jurutera-jurutera muda ini lebih arif dengan kehendak orang muda pada sebuah rekabentuk kereta.

Perodua-Axia-G-ABS-mekanika (3)

Jika sebelum ini syarikat tempatan juga ada menggunakan khidmat firma rekabentuk dari luar dan antarabangsa, apa salahnya kita mencuba idea warga tempatan. Langkah yang diambil Ford adalah kerana mereka yakin ramai warga Australia yang kreatif dan berdaya saing untuk menghasilkan model-model baru mereka. Idea-idea baru ini amat penting dalam merangka perancangan model-model baru.

Untuk bersaing dengan firma rekabentuk gergasi seperti Pininfarina ataupun Giugiaro rasanya akan mengambil masa yang lama tetapi apa salahnya menggunakan bakat-bakat baru ini untuk model-model entry-level seperti Saga ataupun Axia. Untuk langkah pertama rasanya kita boleh menggunakan idea-idea mereka untuk proses naik taraf ataupun facelift. Tiada apa yang perlu ditakutkan kerana Ford Australia mengambil langkah yang lebih besar dengan memasukkan graduan-graduan baru ini dalam projek Ford Ranger dan Everest mereka yang terbaru.

Namun perlu diingat, pemilihan yang teliti telah dijalankan oleh Ford sewaktu memilih para graduan ini. Mana boleh main tangkap muat saja. Jika ingin berjaya seperti mereka, syarikat tempatan juga mesti membuat pemilihan yang teliti. Budaya kroni ataupun mengambil saudara mara yang diamalkan di negara ini semestinya dihentikan. Ini urusan perniagaan bernilai billion ringgit, bukannya bisnes pasar malam.

saksikan video pendek di bawah

 

 

 

kredit

themotorreport

 

 

Google ads
Back to top button