Artikel Pilihan

INI KAEDAH PALING BAGUS REPAIR KERETA LEPAS KEMALANGAN

Anda pernah mengalami kemalangan kereta? Kereta anda disondol oleh makhluk yang memandu secara melulu? Nampak macam sikit saja kan, tapi bila masuk bengkel bertauliah, boleh tahan kos repair kan. Jangan risau kerana pihak insuran akan ada melindungi kenderaan anda.

Tapi tahukah anda proses baik pulih kenderaan walaupun nampak sikit adalah lebih daripada sekadar proses menempek simen dan mengecat semula permukaan kereta yang rosak? Sebagai contoh jika kenderaan anda dilanggar dari tepi, bengkel perlu menarik semula cesi yang rosak, gantikan dengan kepingan cesi baru dan barulah disudahkan dengan kemasan cat.

Cesi kereta yang menggunakan rekaan monocoque sebenarnya dihasilkan daripada gabungan kepingan besi dengan kekuatan yang berbeza. Ia dicantumkan di atas jig dengan menggunakan kaedah kimpalan besi spot welding. Bagi membantu juruteknik di pusat Body&Paint yang bertauliah membaik pulih kereta selepas kemalangan, ada satu alat yang dikenali dengan nama chassis alignment.

Biasa kereta yang mengalami kemalangan dan masih berbaloi untuk dibaiki keadaan dia cacat sedikit, lebih cacat dari kereta tayar kangkang. Body kemik, tayar tercabut, lower arm entah ke mana, cesi pun kadang kadang kemik. Untuk kerja baik pulih, kereta yang rosak ini perlu diletakkan di atas satu bench cesi bagi menyenangkan kerja baik pulih.

Malah bench ini bertindak dengan memegang cesi ketika bahagian yang remuk ditarik keluar dan rekaan lantai bench ini dibuat dengan jitu agar ia menjadi titik rujukan bagi mendapatkan semula ukuran sebenar cesi. Salah satu contohnya ialah Mark-6-Car-O-Liner. Jadi bagaimana proses pembaikan dijalankan dengan bantuan bench Mark 6 Car-O-Liner ini dibuat?

Penulis menjumpai satu video demo yang boleh ditonton di pautan INI dengan durasi selama 8 minit. Penulis akan ringkaskan apa yang berlaku melalui langkah demi langkah berdasarkan video ini. Dalam video ini juruteknik telah melakukan kerja baik pulih pada sebuah Mercedes yang telah dilanggar pada bahagian tepi pada tiang B.

1. Proses ini dimulakan dengan kereta yang mengalami kerosakan diletakkan di atas bench dan beberapa poin pada cesi dipasang bagi tujuan menarik cesi kembali pada bentuk asal

2. Pada bahagian lantai, cesi kereta akan ditambat pada bench dengan menggunakan cagak khas. Dalam kes ini juruteknik perlu menarik lantai cesi kembali pada bentuk asal.

3. Proses menarik semula cesi ini dilakukan dengan memasang tower berdekatan kawasan yang rosak. Rantai besi khas akan digunakan bagi menambat tower dengan tiang B yang rosak.

4. Proses menarik semula cesi ini dibantu dengan sistem pnuematik dan juga hidraulik sehingga sistem komputer memberikan maklumat bahawa tiang B tersebut berada pada kedudukan asalnya.

5. Dalam video ini Mercedes tersebut perlu dibetulkan pada 3 poin agar dimensi asalnya kembali kepada normal. Anda boleh lihat tiang B yang telah remuk dan struktur lantai yang membentuk platform cesi rosak teruk.

6. Semua bahagian yang rosak perlu dipotong keluar. Disini juruteknik perlu mengenalpasti komponen yang perlu diganti semula. Kimpalan spot welding akan dibuka semula dengan kaedah drill.

7. Pada minit 3:50 anda akan lihat juruteknik mengimpal kepingan besi tambahan yang bertindak sebagai cangkuk untuk menarik semula cesi kepada kedudukan asalnya. Ini diikuti dengan proses pengukuran pada minit 4:39 bagi memastikan ukuran cesi sama seperti yang ada dalam sistem komputer.

8. Seterusnya juruteknik akan memasang semula komponen kepingan besi yang membentuk lantai cesi. Komponen ini memiliki part number yang dihasilkan di kilang Mercedes dan disimpan sebagai OEM replacement parts. Biasanya ia perlu ditempah sebelum dihantar ke bengkel.

9. Proses sambungan komponen dengan cesi tadi dibuat dengan kaedah spot welding, sama seperti yang dibuat di kilang. Juruteknik juga memasang rocker panel lantai yang baru yang bertindak sebagai sebagai kerangka pintu.

10. Akhir sekali tiang B yang baru dipasang semula. Yang lama buang, dah tak boleh nak pakai. Seterusnya pintu depan, pintu belakang dan juga fender depan dipasang semula pada kedudukan asal. Selepas siap, barulah kereta ini akan dicat semula dan dikeringkan di dalam oven khas.

Sesetengah syarikat insuran mewajibkan bengkel menghantar laporan lengkap beserta bacaan cesi yang diambil selepas kereta siap dibaik pulih. Harga bench ini sangat mahal tuan-tuan, kalau siap dengan sistem pengukuran mungkin harganya melebihi sebuah Velffire. Jadi tidak hairanlah hanya bengkel yang besar sahaja memiliki fasiliti ini.

Google ads
"
"
Back to top button