INI KOS SERVIS HONDA CR-V 1.5 TURBO, RM 82 JE SEBULAN
Selain daripada varian e:HEV hibrid, Honda juga menawarkan varian berenjin petrol dengan enjin 1500cc turbo yang berupaya menjana sehingga 190 kuasa kuda dan 243Nm tork seawal 1700 RPM. Bagi varian turbo, terdapat 2 pilihan trenkuasa yang disediakan samaada pacuan roda depan atau AWD.
Hanya varian 1.5 V turbo sahaja yang datang dengan pilihan pacuan semua roda manakala varian 1.5 E dan 1.5 S datang dengan pacuan 2 roda depan. Keadaan ini menyebabkan sedikit perbezaan dari segi kos servis. Kami senaraikan kos servis mengikut perbatuan seperti berikut:
1. 10,000km – anda perlu menukar minyak enjin pada ketika ini ATAU lebih awal bergantung pada amaran kelikatan minyak enjin yang dipaparkan oleh meter. Sekiranya lampu amaran sudah menyala, anda perlu menukar minyak enjin sebelum 10,000km dengan kos RM 139.56 dan juga kos buruh RM 81.41 menjadikan kos keseluruhan ialah RM 220.97.
Ini adalah servis berulang pada 50,000km, 70,000km, dan 110,000km dengan anggaran kos yang sama
2. 20,000km – selepas kali kedua menukar minyak enjin, barulah penapis minyak enjin perlu ditukar dengan kos RM 47.53. Ia perlu ditukar awal sekiranya lampu amaran menyala ataupun maksimum pada setiap 12 bulan.
Pada ketika ini juga anda perlu menukar cecair DPSF (Dual Pump System Fluid) untuk varian AWD dengan kos tambahan 102.58 termasuklah drain plug gasket. Anda perlu membayar RM 379.03 untuk semua kos pada ketika ini
3. 30,000km – selain minyak enjin, anda perlu menukar penapis udara enjin (RM 104.49) dan juga penapis penyaman udara ataupun Dust & Pollen Filter (RM 234.06). Ini menjadikan kos keseluruhan pada ketika ini ialah RM 487.97 termasuk minyak enjin. Ini adalah kos berulang pada 90,000km
4. 40,000km – seperti biasa, pada ketika ini minyak CVT perlu ditukar dengan kos tambahan RM 210.36 pada setiap 40,000km. Setelah termasuk minyak enjin dan penapis minyak enjin, kos yang perlu dibayar ialah RM 502.71. Ini adalah kos sama pada 80,000km dan 160,000km.
5. 60,000km – hampir sama dengan kos servis 30,000km tetapi dengan tambahan penukar minyak brek (perlu ditukar pada setiap 60,000km) yang berharga RM 41.21. Secara keseluruhan kos pada ketika ini mencecah RM 529.12
6. 100,000km – selain daripada minyak enjin dan penapis minyak enjin, anda wajib menukar satu set palam pencucuh Iridium (RM 439.35) dan cecair DPSF. Ini menjadikan kos keseluruhan mencecah RM 738.88
7. 180,000km – jika anda masih menggunakan CR-V, pada ketika ini anda perlu menukar penapis petrol atau Fuel Retainer yang berharga RM 416.28. Setelah difaktorkan sekali kos minyak enjin, penapis enjin, penapis minyak enjin, cecair brek, penapis penyaman udara, dan cecair DPSF maka kos pada kali ini mencecah RM 1214.82
8. 200,000km – selepas 10 tahun atau 120 bulan barulah anda perlu menukar cecair penyejuk enjin dengan kos tambahan RM 219.96. Tapi selepas dicampurkan dengan minyak enjin, penapis minyak enjin, cecair CVT, dan palam pencucuh maka kos pada ketika ini ialah RM 1193.82
9. Kos di atas tidak termasuk kos servis penyaman udara, penukaran tayar, imbangan tayar, penjajaran roda, penukaran brek, penukaran bateri dan juga pengelap cermin. Seperti biasa anda boleh semak sendiri kos tayar yang bersaiz 17 dan 18 kerana jenama tayar memainkan faktor utama dalam kos.
10. Untuk penggunaan selama 120 bulan atau 10 tahun, anda perlu mengeluarkan belanja sebanyak RM 9836.94 ataupun secara purata RM 81.97 setiap bulan untuk kos penyelenggaraan.