" "
Buletin

KESATUAN PEKERJA MAHU PROTON PENUHI JANJI, CEO AKHIRNYA AKUR

Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr. Li Chunrong dilapor akhirnya bersetuju untuk memenuhi permintaan yang dituntut oleh persatuan untuk pekerja-pekerja Proton di Shah Alam, Kesatuan PONSB. 

Memetik laporan portal Careta, Kesatuan berkenaan mahu mengadakan protes secara aman dengan memakai pengikat kepala merah kerana Dr. Li dikatakan berdolak-dalik dan tidak mengendahkan permintaan para pekerja.

Sumber dalaman Careta memberitahu ahli Kesatuan sebelum ini akur dan bersetuju untuk bekerja lebih masa demi meningkatkan prestasi syarikat.

“Kami diminta untuk memberikan komitmen bekerja lebih 10 jam sehari, enam hari seminggu dan kami akur. Para pekerja juga dijanjikan insentif jika sasaran tercapai. Namun, semuanya didiamkan dan tidak diendahkan,” jelas wakil Kesatuan menerusi satu perbualan telefon.

PONSB juga dikatakan mengambil sikap mendiamkan diri dan tidak membuat sebarang aduan mengenani janji-janji Geely yang tidak ditepati sehingga ke hari ini.

“Kami tidak mahu bersuara kerana kami tidak mahu mengeruhkan keadaan. Namun begitu, diam kami telah disalahguna oleh pihak pengurusan tinggi dari luar dan dalam negara,” katanya lagi.

Kelmarin, Kesatuan sepatutnya mengeluarkan satu memo berkaitan janji-janji yang perlu ditunaikan. Antara aduan di dalam dokumen yang dilihat oleh Careta termasuklah isu penarikan faedah pekerja sedia ada. Selain pembayaran insentif Happy Operation Entity yang tidak berbayar sejak Januari 2021 dan perbincangan berkaitan bonus tahun 2020.

Menurut memo terkini Kesatuan PONSB, pihak pengurusan Proton kini bersetuju untuk melaksanakan permintaan-permintaan berikut:

  1. Skim Staff Purchase, Skim Staff Purchase 25 Tahun dan menyambung kembali Skim Staff Purchase keluarga terdekat.
  2. Membincangkan semula mengenai pembayaran insentif HOE. 
  3. Pembayaran bonus tahun 2020 akan dibuat pada 30 April 2021.

Proton mempunyai dua kesatuan pekerja untuk tenaga kerjanya, masing-masing di kilang Shah Alam dan Tanjung Malim. Proses pemindahan pekerja-pekerja Shah Alam ke Tanjung Malim bakal bermula dalam tahun ini.

Selain isu dengan pekerja-pekerja tempatan, Dr Li juga dikatakan cenderung mengambil tenaga profesional dari China untuk menggantikan pengurusan tempatan yang tamat kontrak.

“Jawatan pengurus kanan dan ke atas di Proton diganti dengan pengarah-pengarah dari China yang kebanyakannya jauh lebih muda dan tidak berpengalaman.

“Sepatutnya Proton yang belajar dari Geely, tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya,” ujar seorang lagi sumber Careta yang bertugas di Proton yang suatu ketika dahulu dikenali sebagai syarikat pembuat kenderaan Muslim pertama dunia.

“Projek-projek penghasilan model Proton sendiri akhirnya ditolak dan digantikan dengan projek rebadging. Malah, projek kejuruteraan yang dilakukan oleh Proton sendiri adalah lebih berdaya saing dan kos efektif. Malangnya  ia  ditolak dan digantikan dengan kontrak kejuruteraan dari Geely yang jauh lebih mahal.

“Apa yang perlu dilakukan sekarang adalah kajian rasmi tentang berapa nilai RM yang sebenarnya mengalir keluar ke Geely dari Proton. Ini kerana kandungan komponen tempatan masih kurang, ditambah dengan nilai kerja kejuruteraan dari luar,” tegasnya. – Careta 

Google ads
Back to top button