Artikel Pilihan

PASSAT VS CAMRY VS ACCORD VS MAZDA 6

Mungkin 10 tahun lepas segmen D didominasi oleh sedan bersaiz besar seperti Accord dan juga Camry. Sedan yang sesuai untuk kegunaan bos dan juga pengarah syarikat. Malah Accord juga menjadi kenderaan rasmi untuk pegawai kerajaan dengan model Proton Perdana (Accordana). Sesekali muncul model lain yang akan memberi cabaran seperti Mazda 6 dan juga Nissan Teana

Namun bermula dengan Camry, harga segmen D mulai naik ke satu tanda aras yang agak kurang mampu milik menjadikan bakal pembeli mulai beralih kepada crossover segmen C yang lebih mampu milik. Salah satu faktor kenaikan harga ialah struktur cukai yang tidak mesra produk CBU. Jadi sempena pelancaran Accord serba baru tidak lama lagi, apa kata kita bandingkan pilihan sedan segmen D yang ada.

Rekaan

Accord generasi baru bereksperimen dengan rekaan fastback dimana bahagian belakang penutup bonet akan bersambung dengan bumbung. Kami kurang pasti dengan halatuju rekaan Honda sekarang, namun kelihatan jururekabentuk mereka seperti kehabisan idea. Lampu sepit ketam menemui peminat Honda pada ruang belakang. Lampu depan menggunakan teknologi LED namun kami pasti ia menggunakan rekaan reflektor.

Camry pula mendapat ilham dan rekaan dari Lexus menghasilkan gaya yang paling berani pada edisi kali ini. Rekaan 3 kotak tradisional dikekalkan di atas platform Toyota New Global Architecture serba baharu. Maka tidak hairanlah ia satu-satunya sedan yang menggunakan sistem gantungan double wishbone serba baru.

Passat pula menerima pembaharuan minor pada rekaan luar dan juga pada bahagian dalam. Lampu depan kini menggunakan lampu teknologi IQ Matrix LED serba baharu dan ruang kabin menerima pakej pencahyaan 32 pilihan warna lampu LED. Ia mengekalkan rekaan 3 kotak tradisional sedan dan pandangan jujur penulis ia nampak segak walaupun kelihatan ringkas

Mazda 6 pula menggunakan rekaan Kodo design dan dari jauh ia kelihatan seperti sebuah kereta Jaguar dalam warna putih. Apatah lagi dengan warna rim 19 inci gelap dan juga grill depan berwarna hitam berkilat. Namun pada hemat penulis, Mazda 6 dibuat khas untuk bos yang gemar memandu sendiri. Apatah lagi kabin dalam berwarna gelap membayangkan ia sebuah sedan sporti.

Unit Trenkuasa

Accord dibekalkan dengan enjin 1500cc Turbo (tiada mekanisme VTEC) yang menghasilkan 188 kuasa kuda dan 260Nm tork mengikut spesifikasi Thailand. Namun ia masih merupakan unit yang sama digunakan pada model Civic dengan talaan dan spesifikasi enjin yang berbeza. Namun kelemahan utama terletak pada unit transmisi CVT yang digunakan. Err CVT untuk segmen D? No komen.

Camry pula meninggalkan enjin VVTi-W dan menggunakan enjin dual VVT-i 2500cc yang menghasilkan 182 kuasa kuda dan 235Nm tork. Kami lebih suka jika mereka menggunakan enjin Dynamic Force yang serba baru. Enjin ini dipadankan dengan transmisi 6 kelajuan automatik.

Passat menggunakan enjin 2000cc dengan turbo yang menghasilkan 190 kuasa kuda dan 320Nm tork. Ia merupakan unit yang sama digunakan bagi VW Golf GTI namun dengan talaan yang lebih rendah. Prestasi unit klac berkembar (klac basah) memang boleh dipuji. Ia menjadikan angka di atas kertas seperti tidak relevan. Pecutannya kemas dan lancar. Penggunaan petrol pula seperti sebuah kompak segmen B

Mazda 6 mempertaruhkan enjin disel 2200cc turbo berkembar yang menghasilkan 173 kuasa kuda, namun tork 420Nm yang dihasilkan jauh lebih tinggi dalam kelasnya. Jika pedal minyak ditekan rapat, tayar depan akan mula berkokok. Unit transmisi 6 kelajuan SkyActiv Drive yang digunakan memberikan karekter sporti pada Mazda 6.

Sistem Cesi

Honda Accord generasi 10 dilaporkan menggunakan subframe depan yang dibuat daripada aluminium bagi mengurangkan berat. Malah sesetengah komponen sistem gantungan dibuat daripada alumium bagi mengurangkan berat sprung mass. 57% cesi dihasilkan daripada keluli tekanan tinggi dan 29% kerangka dihasilkan daripda keluli ultra kekuatan tinggi. Ketegaran cesi dipertingkatkan dengan penggunaan perekat khas.

Toyota Camry pula menggunakan cesi Toyota New Global Architecture dan paling mengejutkan ialah Camry tampil berani dengan mengenakan suspensi double wishbone pada roda belakang. Ia sistem yang biasa dipakai oleh kereta sport prestasi tinggi. Kelebihan menggunakan sistem ini ialah jurutera mempunyai banyak dimensi untuk menjadikan Camry amat selesa dan sedap melalui selekoh

Passat pula datang dengan Advance Electronic Differential Lock yang akan sentiasa bekerjasama dengan sistem ESC bagi memastikan Passat sentiasa stabil walapun dipecut deras melalui jalan berliku. Suka saya tekankan bahawa talaan suspensi Passat walaupun kelihatan tegap, namun amat selesa ketika melalui jalan tidak rata. Ditambah pula dengan ruang kaki yang luas di bahagian belakang, tak salah untuk jadikan Passat kenderaan chauffeur.

Mazda6 pula tampil dengan sistem G Vectoring Control yang mana sistem akan mengawal input enjin bagi menghasilkan pergerakan yang terkawal agar penumpang tidak merasa terganggu dengan keadaan jalan yang berselekoh. Namun tayar bersiri 45 serta rim bersaiz 19 sedikit sebanyak menjadikan Mazda 6 terasa sporti namun keras. Walaupun jarak antara roda besar, namun ia masih terasa sempit apabila duduk di belakang

Ciri Keselamatan

Amat mengejutkan kerana Accord dan juga Camry menjuarai aspek ini dengan pengenalan Honda Sensing (setakat ini kami yakin ciri ini akan ditawarkan) dan juga Toyota Safety Sense. Honda Sensing merangkumi brek automatik, amaran pra-perlanggaran, amaran pemanduan lorong, pemanduan adaptif, lampu tinggu automatik dan juga Low Speed Follow.

Toyota Safety Sense pula merangkumi sistem amaran pra-perlanggaran, brek pra-perlanggaran, amaran pemanduan lorong dengan pembetulan input stering, Dynamic Radar Cruise Control dan Lampu Tinggi Automatik. Hanya Camry sahaja yang menawarkan 7 beg udara dalam kategori ini.

Mazda 6 pula datang dengan i-ActiveSense yang merangkumi sistem Smart City Brake Support (brek automatik) pada arah depan dan belakang, Sistem Amaran Titik Buta, Sistem Amaran Lintasan Belakang, Driver Attention Alert, Sistem Amaran Pemanduan Lorong dan juga Lampu Depan Adaptif dengan Lampu Tinggi Automatik. Mazda 6 hanya dibekalkan dengan pemanduan automatik pasif sahaja.

Passat hanya dibekalkan dengan Amaran Titik Buta, Driver Attention Alert, 6 beg udara, dan Proactive Passenger Protection System. Mungkin Passat perlukan model baru untuk kekal relevan dalam aspek keselamatan.

Harga

Ini merupakan faktor yang menentukan samaada model ini mampu membuatkan bakal pembeli terus bersetuju membeli. Passat ditawarkan pada harga RM 189,012 merupakan harga yang paling murah bagi sebuah segmen D. Camry 2.5 pula ditawarkan pada harga RM 196,888.

Jika kita lihat balik Camry, Accord dan juga Teana yang dipasarkan sekitar 10 tahun lepas, harga sedan segmen D adalah sekitar RM 145,000-160,000 sahaja. Dan harga sebuah kereta segmen D sekarang adalah setara dengan sebuah apartment dengan keluasan 1100 kaki persegi. Sentimen harga sebenarnya memainkan peranan dalam mempengaruhi keputusan bakal pembeli.

Tags
Google ads
Back to top button