
INI YANG TERJADI PADA ENJIN 2JZ SELEPAS DITALA SEHINGGA 1500 KUASA KUDA DAN DIGUNAKAN SELAMA 2 TAHUN
Enjin 6 silinder 3000cc iaitu enjin 2JZ merupakan enjin yang menjadi lagenda di kalangan peminat dunia automotif. Ia terkenal sebagai enjin yang mudah untuk ditala sehingga mencapai kuasa yang luar biasa samaada untuk kegunaan litar, atas jalan raya ataupun bagi kegunaan perlumbaan.
Tapi selepas ditala sehingga 1500 kuasa kuda, apakah akan berlaku pada komponen dalaman enjin ini? Dalam video di bawah yang dihasilkan anda akan menemui jawapannya. That Racing Channel di YouTube ditemani Jay Meagher dari Real Street Performance dan Pedro, pemilik enjin 2JZ yang menjana 1500 kuasa kuda ini ada jawapannya.
Enjin ini dikeluarkan dari Toyota Supra milik Pedro bagi dibuka dan diteliti setiap komponennya. Menurut That Racing Channel, enjin ini telah didera dengan boost setinggi 50 psi selama 2 tahun dan menjalani 150 perlumbaan suku batu.
Namun disebalik penggunaan yang lasak, silinder enjin ini bebas dari masalah dan juga enapan karbon. Meagher hanya menemui kelusuhan yang luar biasa pada aci sesondol dan cam buckets disebabkan masalah minyak pelincir tidak cukup ketika beroperasi.
Meagher juga menemui kebocoran kecil pada gasket pelapik kepala enjin untuk silinder nombor 3 serta kelusuhan luar biasa pada rod bearing juga disebabkan isu masalah minyak pelincir. Namun blok silinder, rod penyambung, aci engkol dan piston semua dalam keadaan yang bagus.
Malah Meagher juga terkejut kerana semua komponen ini adalah komponen asal Toyota bukannya komponen aftermarket dan berupaya menjana sehingga 4 kali ganda kuasa enjin daripada yang asal.



