PEMANDU KERETA API LAJU SHINKASEN PERGI ‘MELABUR’. MINTA KONDUKTOR GANTI, BAKAL KENA TINDAKAN TATATERTIB
Seorang pemandu kereta api laju, Shinkasen di Jepun berdepan tindakan tatatertib kerana membiarkan pengangkutan awam tersebut dikendalikan oleh seorang konduktor semasa ketiadaannya.
Menurut laporan BBC, pemandu yang tidak dinyatakan identitinya itu meminta seorang konduktor yang tidak mempunyai lesen untuk mengendalikan kereta api Shinkansen itu.
Ketika kejadian tren bergerak dengan kelajuan 150 kilometer sejam.
Kejadian berlaku di wilayah Shizuoka pada Ahad lalu ketika kereta api Hikari 633 tersebut membawa seramai 160 penumpang.
Pemandu berusia 36 tahun itu mengalami sakit perut dan perlu menggunakan tandas dengan segera.
Dia kemudian memanggil seorang konduktor untuk masuk ke ruang pemanduan bagi mengendalikan kereta api tersebut sebelum menggunakan tandas di bahagian gerabak penumpang selama tiga minit.
Meskipun tidak mengganggu perjalanan, syarikat pengendali kereta api tersebut, Central Japan Railway Company (JR Central) telah melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasan dan membuat permohonan maaf.
Ini kerana menurut peraturan syarikat, jika pemandu kereta api berasa tidak sihat, mereka perlu menghubungi pusat kawalan pengangkutan.
Mereka juga dibenarkan meminta bantuan konduktor untuk mengendalikan kereta api, namun dengan syarat konduktor tersebut mestilah mempunyai lesen memandu pengangkutan awam tersebut.
“Itu merupakan satu kejadian yang tidak sepatutnya berlaku. Kami meminta maaf,” ujar seorang pegawai kanan JR Central, Masahiro Hayatsu.
Kedua-dua pemandu kereta api dan konduktor berkenaan kini berdepan tindakan disiplin.
Kereta api Shinkansen dikendalikan secara automatik namun masih memerlukan pemandu di ruang kokpit bagi mengambil alih kawalan sekiranya berdepan kejadian tidak diingini. – agensi