Buletin

JENTERA IKONIK FERRARI ENZO BERNILAI RM12 JUTA JAHANAM LANGGAR POKOK

Ferrari Enzo yang dinamakan sempena pengasas syarikat Itali itu merupakan antara model ikonik jenama berkenaan.

Begitupun, jentera berwarna merah terbabit yang didakwa sedang dipandu uji terbabas dan melanggar pokok di Belanda.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi di daerah Baarn itu, tiada kecederaan serius dilaporkan tetapi jentera dikatakan mengalami kerosakan teruk pada bahagian hadapan.

Menurut seorang saksi, Ferrari berkenaan dipercayai dipandu dengan laju sebelum pemandu hilang kawalan dan berpusing sehingga terbabas merempuh pokok.

Berikutan kemalangan tersebut, dua roda jentera tercabut manakala beberapa panel badan remuk serta bahagian bawah mengalami kerosakan.

Menurut agensi media tempatan ad.nl, seorang jurugambar yang kebetulan berada di tempat kejadian terlihat pekerja pengedar Kroymans Ferrari berada di dalam jentera dan kemungkinan besar sedang memandu uji kenderaan.

Sumber lain mendakwa jentera terbabit dipandu mekanik tetapi jurucakap Kroymans Ferrari tidak mahu memberi sebarang komen berhubung kejadian itu.

Enzo merupakan antara jentera ikonik Ferrari yang dibangunkan sebanyak 400 unit sahaja antara tahun 2002 sehingga 2004.

Nilai Supercar berkenaan terus melonjak saban tahun sehingga boleh mencecah AS$2 juta (RM8.38 juta) dan AS$3 juta (RM12.57 juta). –carscoops

Google ads
Back to top button