Buletin

ISU SALAH LAKU UJIAN KESELAMATAN AXIA BAHARU, PERODUA BERI JAMINAN PERSIJILAN UN-R95 MASIH SAH. TIADA RECALL, SELAMAT DIPANDU, PENGHANTARAN SEPERTI BIASA

Berikutan laporan Daihatsu Motor Co. pada 28 April 2023 yang mengesahkan terdapat salah laku di dalam ujian keselamatan bagi empat buah model kenderaannya, termasuklah Perodua Axia baharu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad hari ini mengeluarkan satu kenyataan rasmi bagi menjelaskan isu berkenaan. 

“Daihatsu Co.Ltd telah dilantik dan dipertanggungawabkan oleh Perodua untuk menjalankan ujian keselamatan bagi Perodua Axia baharu di Jepun. Ujian itu telah disaksikan oleh pihak berkuasa dan agensi yang relevan bagi tujuan penilaian pihak terbabit.

“Sebaik sahaja kami menerima berita mengenai ‘ketidakaturan prosedur’ oleh Daihatsu, kami telah menghubungi pihak terbabit serta-merta untuk mengenalpasti sama ada standard keselamatan Perodua Axia baharu turut terjejas atau sebaliknya.

“Kami telah diberi jaminan bahawa pensijilan UN-R95 yang diberikan kepada Perodua Axia model baharu tetap sah dan diperakui walaupun Daihatsu membuat pendedahan sedemikian,” jelas Zainal. 

Ini bermakna, Perodua Axia Baharu adalah selamat untuk dipandu dan tiada panggilan semula akan dibuat. Perodua juga tidak akan menghentikan penghantaran kenderaan model baharu ini kepada pelanggan.

Zainal memohon maaf di atas segala kekeliruan yang berlaku kepada para pelanggan berhubung perkara ini. Pihaknya juga memberi jaminan bahawa segala maklumat keselamatan dan spesifikasi semua model kenderaan Perodua adalah diperakui oleh badan profesional.

Perodua akan terus memantau situasi ini dan memaklumkan perkembangan terkini kepada orang ramai. Perodua sentiasa mengutamakan keselamatan dan keselesaan para pelanggan dan akan terus berbuat demikian sebagai sebahagian daripada amalannya dalam menjangkaui setiap jangkaan.

Google ads
Back to top button