
ISUZU PERKENAL VARIAN D-MAX AUTO PLUS 4X2 1.9L. 85KG LEBIH RINGAN, RM101K SAHAJA
Isuzu Malaysia hari ini memperkenalkan varian baharu trak pikap D-Max dengan pacuan 4×2 automatik. Dikenali sebagai D-Max Auto Plus 4×2 1.9L, varian tersebut ditawarkan kerana hanya 28 peratus pengguna trak pikap di Malaysia kerap menggunakan sistem 4×4.
Justeru, 4×2 dilihat sebagai varian paling ideal kerana ia menggunakan sistem pacuan lebih ringkas, kurang komponen yang perlu diselenggara serta lebih ringan. Ini menjadikannya sangat sesuai untuk kegunaan urban, pemanduan jarak jauh serta mereka yang kerap memandu di atas permukaan berturap.
“Varian D-Max baru yang diperkenalkan hari ini akan menjadi satu-satunya penawaran 4×2 dalam kelasnya yang datang dengan transmisi automatik dan mampu milik,” kata Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Kenkichi Sogo.

Dengan menggugurkan komponen transfer case, differential depan dan sistem pacuan sampingan, D-Max Auto Plus 4×2 1.9L hanya seberat 1,830 kg, kurang 85kg berbanding model pacuan 4×4 biasa.
Memiliki spesifikasi yang sama seperti varian D-Max Standard 4×4 1.9L Auto, D-Max Auto Plus 4×2 1.9L dikuasakan oleh enjin RZ4E-TC 1.9 liter yang mampu menghasilkan 150PS pada 3,600rpm dan tork 350Nm di antara 1,800-2,600rpm. Kuasa disalurkan ke roda menerusi kotak gear automatik 6-kelajuan.

D-Max Plus 4×2 1.9L turut dilengkapi ciri bantuan pemanduan elektronik seperti Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Agihan Daya Brek Elektronik (EBD), Bantuan Brek (BA), Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), Bantuan Mula Mendaki (HSA), Bantuan Menuruni Curam (HDC) dan Sistem Override Brek (BOS).
Gabungan bantuan elektronik maju ini dengan struktur badan dengan kejuruteraan jitu membolehkan Isuzu D-Max meraih penarafan lima-bintang ASEAN NCAP, menjadikannya antara trak pikap paling selamat dalam pasaran ketika ini.

Jentera itu tampil dengan gril berwarna kelabu, lampu utama projektor Bi-LED dan DRL LED. Ia juga dipasang dengan rim aloi bersaiz 17 inci. Bahagian sisi dilekatkan dengan pelekat 4×2 Auto Plus untuk membezakannya dengan varian lain.
Tidak ketinggalan, kamera undur yang memaparkan visual pada skrin multimedia bersaiz 7 inci pada papan pemuka. Varian tersebut hadir dalam lima pilihan warna iaitu putih, perak, hitam, biru dan oren.
Dengan spesifikasi mantap, D-Max Auto Plus 4×2 1.9L ditawarkan pada harga RM100,999 seunit. Penyerahan akan dilakukan pada awal November 2021.