
ISUZU D-MAX CATAT SERAHAN 1,233 UNIT PADA MAC 2022. PALING TINGGI DALAM SEJARAH
Isuzu D-Max generasi ketiga serba baru mencatatkan jualan tertinggi untuk pasaran tempatan pada Mac 2022, mengatasi jualan bulanan tertinggi yang pernah dicapai sejak Isuzu Malaysia mula beroperasi pada tahun 2005.
Angka rasmi mencatatkan 1,233 pendaftaran bagi Isuzu D-Max terbaru sepanjang Mac, didorong oleh serahan kenderaan yang kembali meningkat bagi memenuhi pesanan tertangguh sebelum ini. Angka baru ini mengatasi rekod Isuzu yang sebelumnya dengan 885 unit terjual pada Disember 2014 selepas pengenalan varian 3.0 liter V-Cross yang sangat popular ketika itu.
Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Kenkichi Sogo memaklumkan peningkatan serahan dari kilang telah membolehkan syarikat itu memendekkan tempoh menunggu pelanggan.

“Sebagai sebuah jenama yang mementingkan pelanggan dan faham bahawa pemilik kenderaan kami sangat bergantung kepada kenderaan Isuzu mereka untuk melakukan apa jua urusan, keutamaan kami adalah untuk meningkatkan bekalan bagi memenuhi permintaan yang semakin bertambah.
“Saya sangat berterima kasih kepada semua pelanggan yang sabar menunggu ketibaan D-Max mereka. Kami akan terus meningkatkan bekalan pada bulan-bulan mendatang bagi mengurangkan lagi tempoh menunggu,” katanya.
Peningkatan bekalan dicapai melalui peruntukan tambahan dari kilang. Varian paling banyak diserahkan sepanjang Mac ialah varian 1.9 Premium Auto dengan 350 unit. Sebagai pilihan popular warga Malaysia, varian 1.9 Premium Auto menawarkan rekaan bergaya, prestasi pemanduan cemerlang, ciri dalaman premium dan cukai jalan paling rendah dalam segmennya.

Serahan varian flagship X-Terrain juga meningkat kepada 163 unit. Menjadi model popular di peringkat global, ia turut mengalami kekurangan bekalan. Varian yang dilengkapi sistem keselamatan canggih dan ciri keselesaan telah terbukti menjadi pilihan terbaik bagi pelanggan yang mahukan sebuah trak pikap yang memberikan nilai terbaik untuk apa jua kegunaan.
Ketua Pegawai Eksekutif terkini Isuzu Malaysia, Shunsuke Okazoe menggariskan keperluan untuk mengutamakan kepuasan pelanggan melalui usaha jualan dan lepas jualan yang akan diperbaiki lagi. Okazoe yang memegang ijazah undang-undang daripada Universiti Kyushu telah terlibat dengan perniagaan Isuzu sejak 26 tahun lalu.

Pernah memikul tanggungjawab di peringkat antarabangsa di Jepun, Amerika, India dan Thailand, beliau telah menyandang beberapa jawatan dalam bidang korporat dan perancangan jualan. Okazoe memberitahu fokusnya ketika di Malaysia adalah untuk mengukuhkan rangkaian Isuzu dan memberikan lebih kepuasan kepada pelanggan.
“Walapun Isuzu Malaysia secara relatifnya masih sebuah syarikat yang baru, jumlah pelanggan kami telah berkembang agak pesat dalam tempoh 17 tahun ini.
Reputasi jenama yang kukuh, barisan produk yang boleh diharap serta rangkaian sokongan yang kuat telah membantu kami mewujudkan satu platform yang sangat mantap untuk pertumbuhan. Sasaran kami adalah untuk menambah baik sistem sokongan, selari dengan pertambahan pelanggan Isuzu,” jelasnya.
Isuzu Malaysia menjalankan operasinya melalui pengedar rasmi di seluruh negara menerusi 54 cawangan yang terletak di lokasi strategik. Isuzu Malaysia juga akan segera menjalankan aktiviti pengembangan rangkaian untuk memastikan pelanggan menikmati pengalaman yang lebih komprehensif dalam suasana lebih selesa dan kondusif.