Motosikal

JACK MILLER SAH KE PASUKAN FACTORY DUCATI TAHUN 2021, GANTI PETRUCCI

Ducati secara rasminya mengesahkan bahawa pelumba pasukan satelit Pramac Racing, Jack Miller akan menyertai pasukan factory Ducati bagi musim MotoGP 2021. 

Miller ditawarkan kontrak selama setahun dengan pilihan lanjutan sehingga tahun 2022. Sejak beberapa hari lalu, timbul khabar angin tentang masa depan pelumba Australia itu selepas bos Ducati memberi bayangan keputusan akan dibuat tidak lama lagi. 

Biarpun Ducati tidak menyebut nama pelumba yang digantikan oleh Miller, namun dia dijangka mengambil tempat Danilo Petrucci yang bakal meninggalkan pasukan Ducati pada akhir musim ini. 

Miller melakukan debut dalam MotoGP pada tahun 2015 selepas cemerlang semasa saingan Moto3. Dia bermula dengan pasukan LCR sebelum diberi kepercayaan mengandalikan jenyeta spesifikasi penuh Marc VDS Honda pada tahun 2016. 

Tahun itu juga, Miller mengejutkan ramai pihak apabila menang buat kali pertama di litar Assen. Berjaya mencatat tujuh podium, Ducati sebenarnya mahu menilai kemampuam Miller dan Petrucci pada musim 2020.

Memandangkan banyak perlumbaan terpaksa dibatalkan akibat penularan wabak COVID-19, keputusan nampaknya perlu dibuat lebih awal. 

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Paolo Campinoti, Francesco Guidotti dan semua pasukan Pramac Racing atas sokongan selama dua tahun setengah bersama mereka. 

“Dapat meneruskan kerjaya dalam MotoGP dengan pasukan Borgo Panigale sememangnya satu penghormatan besar. Jadi, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pengurusan Ducati, Claudio, Gigi, Paolo dan Davide atas kepercayaan yang diberikan. 

“Saya tidak sabar untuk kembali berlumba semula pada tahun ini. Saya juga sudah bersedia untuk menjadi pelumba rasmi Ducati tahun depan,” kata Miller. 

Tags
Google ads
Back to top button