
JAGUAR XFR-S SPORTBRAKE
Pengeluar kereta mewah Jaguar Land Rover bakal memperkenalkan model XFR-S Sportbrake pada pameran Geneva International Motor Show 2014.
Menjadi model ketiga dalam rangkaian R-S berprestasi ultra, XFR-S Sportbrake menyertai model XFR-S saloon yang mempunyai kelajuan mencecah 300km/j. XFR-S Sportbrake juga menggabungkan ciri-ciri kejuruteraan daripada model XKR-S dan kereta sports dua pintu F-TYPE serba baharu.
Jentera penuh kuasa itu dikatakan memiliki kecekapan dunia sebenar dan prestasi Autobahn. Rangkaian model XF untuk tahun 2015 itu mampu memenuhi apa jua ekspektasi yang diinginkan daripada sebuah Jaguar. Sama ada dari segi kemewahan, kehalusan buatan dan versatiliti.
Harus tahu juga bahawa XFR-S Sportbrake merupakan model sports estate R-S pertama yang dihasilkan oleh Jaguar. Ia dibina di atas platform XFR-S saloon yang terkenal dengan kelincahannya. Lebih menarik lagi, chasis telah menerima talaan semula bagi disesuaikan dengan karekternya.
Kualiti pengendalian ditingkatkan menerusi sistem Active Electronic Differential dan Dynamic Stability Control (DSC). Bukan itu sahaja, penggunaan rim aloi yang ditempa ‘Varuna’ bersaiz 20 inci dibalut dengan tayar yang ditempah khas untuk memaksimumkan prestasi cengkamannya.
Jentera idaman ramai itu dikuasakan oleh unit enjin V8 supercharged bersesaran 5.0 liter. Enjin tersebut berupaya menghasilkan kuasa sehingga 550PS dan tork puncak 680Nm!
Ia kemudian dipadankan dengan kotak gear autiomatik lapan kelajuan Quickshift yang membolehkan pecutan dilakukan secara optimum dalam apa jua lengkuk rev. Prestasinya? Ia mampu memecut dari 0 hingga 100km/j dalam tempoh 4.8 saat. Manakala kelajuan maksimumnya dihadkan secara elektronik pada 300km/j.
Kemewahan ruang dalamannya diserlahkan menerusi material yang eksklusif seperti kulit gentian dan jahitan kemas. Sebagai sebuah estate, XFR-S Sportbrake juga memiliki kapasiti kargo mencecah 1,675 liter apabila tempat duduk belakangnya dilipat rata.
Di pasaran United Kingdom, XFR-S Sportbrake ditawarkan pada harga £82,495 (RM450,918) seunit. Tempahan akan mula dibuka pada 1 April 2014.













