Buletin

JANGAN BERLAGAK PENGUAT KUASA PASANG STROBE LIGHT. BOLEH KENA DENDA RM2,000 ATAU PENJARA

Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi hantaran di Facebook memberi peringatan penggunaan Strobe Light pada kenderaan persendirian boleh didenda sehingga RM2,000 atau penjara.

Melalui hantaran berkenaan, JSPT sentiasa memantau penggunaan lampu mata Strobe Light pada kenderaan persendirian.

Ia kerap kali menjadi rungutan pengguna jalan raya berikutan kelakuan mereka yang suka mengambil kesempatan dan berlagak seperti pegawai penguat kuasa.

Dalam pada itu, kenyataan itu berkata terdapat beberapa video tular di media sosial mengenai penggunaan Strobe Light tersebut dan pihak JSPT sedang mengambil tindakan sewajarnya kerana nombor pendaftaran kenderaan terlibat telah dikenalpasti.

JSPT menegaskan mana-mana pemilik kenderaan yang mengubah suai dan menggunakan lampu mata arah Strobe Light pada kenderaan persendirian adalah menjadi satu kesalahan dan boleh diambil tindakan.

Pemandu boleh dikenakan tindakan di bawah Peraturan 138, Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 170/59 iaitu ubah suai kenderaan tanpa kebenaran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan.

Menurut Kaedah 9, Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 hanya kenderaan dalan tugas kecemasan seperti kenderaan Polis, Bomba, Ambulans dan JPJ sahaja dibenarkan mendapat hak laluan mengatasi kenderaan lain dengan cara membunyikan siren tertentu, loceng atau hon dua nada. – FB JSPT

Google ads
Back to top button