Buletin

WANITA PANDU ALZA BAHAYAKAN NYAWA 3 KANAK-KANAK DITAHAN POLIS

Baru-baru ini, tular satu klip video yang menunjukkan tiga orang  kanak-kanak mengeluarkan badan mereka daripada sebuah Perodua Alza yang dipandu laju di atas jalan raya. 

Aksi berbahaya itu jelas menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan netizen dan meminta pihak berkuasa mengambil tindakan ke atas individu terbabit.  

Justeru, bertindak atas maklumat yang diterima, pasukan Risikan/ Operasi JSPT Bukit Aman yang terdiri daripada pegawai dan anggota menjalankan risikan dan berjaya mengesan pemilik kenderaan tersebut yang beralamat di Kajang, Selangor. 

Pasukan tersebut kemudian telah menahan seorang wanita yang merupakan pemandu kereta berkenaan. Hasil  siasatan awal mengesahkan wanita itu bertanggungjawab yang memandu seperti di dalam video yang tular.

Menurut wanita itu, kanak-kanak tersebut ialah anak saudaranya yang tinggal di Klang. Kejadian berlaku semasa wanita tersebut memandu di Jalan Reko, Kajang pada 25 Disember 2021 yang lalu. Wanita itu ditahan dan dibawa ke Balai Trafik IPD Kajang untuk tindakan selanjutnya. 

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 336 Kanun Keseksaan (Akta 574) – Perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain dan Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001- Penganiayaan, pengabaian ke atas kanak-kanak.

JSPT mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada netizen yang menyalurkan maklumat sebegini agar tindakan undang-undang boleh diambil kepada mereka yang melanggar peraturan dan undang-undang di jalan raya.

JSPT menyeru agar semua pemandu sentiasa mematuhi peraturan dan tidak sesekali membawa penumpang terutama kanak-kanak dalam keadaan yang berbahaya. – FB JSPT PDRM

Google ads
Back to top button