JENTERA F1 MERCEDES BAHARU BERWARNA HITAM UNTUK MENGURANGKAN BERAT – HAIH WARNA PUN ADA BERAT KE?
Berdekad lamanya jentera F1 Mercedes dinamakan Silver Arrow. Kenapa tiba-tiba jadi hitam ni? Okey, sebenarnya model asal Silver Arrow dinamakan sebegitu bukan sebab ia dicat dengan warna perak tapi ia memang warna logam itu sendiri. Panggunaan cat akan meningkatkan berat dan tanpa cat sekalipun ia masih kelihatan bergaya dan berkilauan.
Tapi kini kaedah pembuatan kereta sudah semakin maju dan material baharu seperti serat karbon mula digunakan secara meluas. Ia lebih kukuh, ringan dan berwarna hitam. Habis tu kenapa sejak dari zaman Mika Hakkinen sehingga ke Lewis Hamilton ia berwarna perak?
Jawapannya ialah ia sengaja dicat dengan warna perak sebagai penghormatan kepada model Silver Arrow asal. Bermula tahun 2020 dan 2021, kereta lumba pasukan Mercedes-AMG F1 telah dicat dengan warna hitam sebagai tanda sokongan kepada persamaan hak dan kepelbagaian.
Kini untuk musim 2023, ia kembali berwarna hitam atas dasar yang sama dan juga untuk menjimatkan berat. Ye la, nak cat sebuah kereta dah berapa liter cat digunakan. F1 memang cukup sinonim dengan pengurangan berat.
Bukan hanya Mercedes yang cuba mengurangkan sebanyak mungkin berat dengan meminimakan penggunaan cat malah pasukan lain turut mengambil langkah yang serupa. Liveri jentera juga turut diminimakan seperti mana yang dilakukan oleh pasukan Williams pada musim yang lepas.
Itulah progresifnya pembangunan dalam konstruksi jentera F1. Bukan setakat ciri aerodinamik diambil kira tapi setiap komponen termasuk penggunaan cat turut diberi perhatian. Kita? Tak cukup dengan cat asal, kita balut pula seluruh badan kereta konon agar lebih bergaya.