JETOUR – MENGEMBARA NAIK JET? KE PROPA JE?
Sebenarnya sebaik sahaja mendengar nama Jetour, penulis mula terfikir yang berapa banyak jenama dari negara China yang akan masuk ke pasaran dalam negara?
Apatah lagi semakan awal penulis mendapati Jetour merupakan entity yang sama dengan jenama Chery. Semakan awal penulis di laman sesawang mendakwa jenama Jetour adalah jenama yang ditubuhkan oleh Chery dalam strategi “multi brand marketing”.
Sebenarnya agak sukar untuk penulis menerima pendapat tersebut, apatah lagi Chery sudah pun memiliki dan melancarkan jenama Jaecoo dan juga Omoda sebagai strategi eksport untuk pasaran luar China
Namun melalui persidangan yang dihadiri oleh penulis dan juga rakan media baru-baru ini di Fuzhou memberi Gambaran sebenar berkenaan dengan jenama Jetour, jauh berbeza daripada apa yang cuba digambarkan oleh Google
Dalam terma perkataan inggeris, perkataan Jetour diasaskan daripada gabungan perkataan JET dan TOUR. Namun dalam istilah sebutan perkataan dalam sebutan klasik perbendaharaan Cina, sebutan JET merujuk kepada kejayaan dalam karier
TOUR pula memberi erti pengembaraan yang dipenuhi dengan kegembiraan dan harmoni. Jadi Jetour dalam bahasa Cina membawa maksud “a convenient journey” ataupun “pengembaraan yang meriangkan”.
Selepas melihat barisan model yang dipasarkan dan akan ditawarkan pada masa hadapan, semua model Jetour nanti akan datang dalam bentuk SUV segmen C baik untuk kegunaan dalam bandar, laluan jalan lasak, offroad serius dan juga offroad yang ekstrim.
Dalam masa terdekat, Jetour akan memasarkan model SUV 5 tempat duduk iaitu Jetour Dashing dan juga sebuah SUV segmen D 7 tempat duduk yang lebih besar. Namun pada masa akan datang Jetour juga akan memperkenalkan model offroader yang lebih serius seperti Jetour T2 yang akan dipasarkan pada tahun 2025 nanti menerusi model CKD
Jika anda rasakan Jetour T2 terlalu agresif untuk anda, Jetour juga merancang untuk membawa masuk model serba baru iaitu Jetour T1 dengan rekaan berkotak seakan-akan Hummvee namun dengan rekabentuk yang lebih moden dan bergaya untuk kegunaan bandar dan ofroad ringan
Malah untuk membezakan produk keluaran Jetour dengan Chery, Jetour turut menggunakan slogan “Born for Travel” bagi menggalakkan pemilik Jetour untuk mengembara bersama ahli keluar dan kenalan melalui strategi Travel+ Culture.
Strategi ini menggabungkan produk, gaya hidup, budaya, dan menggalakkan pemilik untuk meneroka semua tempat menarik serta makanan warisan setempat menerusi pengembaraan bersama SUV Jetour.
Pendek kata Jetour adalah manifestasi gaya hidup dan pengembaraan sepanjang hidup pemilik dan bukannya sebagai kenderaan untuk bergerak dari poin A ke poin B semata-mata.
Jetour juga turut memasarkan aksesori sampingan bagi menyokong aktiviti pengembaraan anda samaada anda suka berbasikal, memancing, sukan luncur air, berkhemah, berkayak, memulakan pengembaraan di padang pasir, atau memandu merentasi benua.
Pemilik Jetour di China juga diberikan peta Cadangan laluan pengembaraan dan diskaun untuk menginap di mana-mana Lokasi Cadangan yang ditawarkan. Strategi Travel+ oleh Jetour ini menjadikan dunia ini sebagai pengembaraan berterusan untuk pemilik Jetour memandu dan meneroka dunia.
Berbeza dengan jenama SUV lain yang memberi fokus kepada aktiviti lasak sahaja, Jetour menggalakkan pemilik dan pemandu mengembara di seluruh pelusuk dunia bagi mengenal budaya, makanan dan tempat pelancongan yang ada.
Usaha ini juga turut disokong dengan teknologi dan juga R&D selama 27 tahun serta pasukan R&D seramai 20,000 orang. Semua SUV Jetour ditawarkan dengan teknologi hibrid yang efisyen, sistem pacuan semua roda AWD pelbagai scenario pemanduan, ruang yang luas dan memenuhi semua standard keselamatan global.
Jadi sekiranya penulis ditanya berkenaan dengan jenama Jetour, Gambaran pertama yang ada ialah ia adalah SUV lengkap dengan teknologi hibrid, rekaan yang moden, amat sesuai untuk pemandu yang suka mengembara dan meneroka dunia.
Jetour bukan sekadar SUV untuk anda memandu dari poin A ke poin B, ia menggambarkan gaya hidup dan pengembaraan anda sepanjang hayat.