
Satu perkara tentang Yamaha ialah kepercayaan dan peluang yang diberikan kepada pelumba sedia ada dan bekas pelumba.
Ini boleh dilihat bagaimana Maverick Viñales terus kekal sehingga 2022, Fabio Quartararo berpindah ke Yamaha Factory Racing dan Valentino Rossi terus diberi ruang sehingga pertengahan musim 2020.
Satu lagi perkembangan menarik apabila Jorge Lorenzo, juara MotoGP sebanyak tiga kali kembali semula ke pasukan Yamaha.

Beliau yang juga juara dunia lima kali akan menyertai program Pasukan Ujian Yamaha Factory Racing dalam melonjakkan lagi program pembangunan MotoGP sepanjang musim 2020.
Lorenzo bermula dalam kelas MotoGP bersama Yamaha pada 2008 dan sembilan tahun bersama pasukan Factory MotoGP. Beliau menjuarai tiga MotoGP menggunakan motosikal YZR-M1 pada tahun 2010, 2012 dan 2015.
Tugas pertama Jorge Lorenzo ialah pada ujian MotoGP di Sepang dari 2 hingga 4 Februari dengan menunggang motosikal YZR-M1.
Beliau juga akan terlibat dalam Ujian Rasmi IRTA (International Road-Racing Teams Association) dan beberapa ujian persendirian Yamaha pada musim ini.
Ujian persendirian itu dibuat bagi membantu jurutera Yamaha untuk pembangunan musim ini.
Jorge Lorenzo adalah individu yang tepat untuk tugas itu memandangkan beliau dikenali sebagai penunggang yang lancar, tepat dan mempunyai maklum balas jelas.
Beliau akan dibantu oleh Silvano Galbusera selaku Ketua Kru untuk Jorge Lorenzo dalam Pasukan Ujian Yamaha Factory Racing
Adakah Jorge Lorenzo bakal kembali berlumba? Setakat ini Yamaha tidak mempunyai rancangan wild card namun terbuka untuk sebarang kemungkinan sekiranya beliau berhasrat untuk berlumba sekali lagi.
Satu perkara menarik dikongsi oleh Lin Jarvis selaku Pengarah Urusan Yamaha Factory Racing, sebaik sahaja mengetahui Jorge Lorenzo mahu bersara, pasukannya dengan segera mula mempertimbangkan bagi membolehkan Jorge Lorenzo kembali bersama Yamaha.
Keputusannya mereka berjaya. Jorge Lorenzo sendiri memperakui yang beliau gembira untuk menyertai Pasukan Ujian Yamaha Factory seterusnya membantu Yamaha dalam mendapatkan kembali kejuaraan.