Buletin

JPJ LAKSANA SISTEM PENGUJIAN LESEN MEMANDU SECARA AUTOMASI APRIL INI

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan sistem pengujian lesen memandu secara automasi atau ‘e-Testing’ di seluruh negara mulai April ini.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim, berkata sistem e-Testing ini bertujuan meningkat integriti dan kebolehpercayaan masyarakat terhadap sistem pengujian lesen memandu yang diadakan secara elektronik.

Beliau berkata, menerusi sistem itu, pegawai penguji JPJ akan memantau dari bilik kawalan, manakala calon yang diuji berada bersendirian dalam kereta.

Katanya, selain dapat mengurangkan jumlah pegawai JPJ yang bertugas, keputusan ujian memandu juga akan dijana secara terus.

“Segala arahan atau kesalahan yang dilakukan oleh calon terbabit akan dipantau serta ditegur melalui bilik kawalan khas yang disediakan di Institut Memandu (IM) terbabit,” katanya pada sidang media pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2022 JPJ Malaysia di Putrajaya.

Hadir sama ialah Timbalan Ketua Pengarah Perancangan & Operasi, Aedy Fadly Ramli dan Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasa, Datuk Lokman Jamaan.

Zailani berkata, calon ujian memandu sistem e-Testing ini perlu melalui enam peringkat iaitu belajar dalam kelas, litar dan jalan raya.

Menurutnya, bagi sesi pembelajaran di dalam kelas dan jalan raya tiada perubahan, sebaliknya hanya sesi belajar di dalam litar sahaja ada sedikit perubahan iaitu pegawai dan calon tidak akan duduk sekali di dalam kereta.

Katanya, setakat ini ada 232 institut memandu di seluruh negara dan mereka boleh mendapatkan aplikadi e-Testing ini secara membeli menerusi pusat penyedia yang dilantik JPJ.

“JPJ akan mengadakan pemeriksaan dari masa ke semasa sama ada modul yang digunakan institut memandu dalam e-Testing itu menepati enam elemen ditetapkan JPJ.

“Sistem ini sudah dipraktikkan di Korea dan Jepun, sementara Malaysia akan ke arah itu bagi meningkat kemudahan kepada orang awam menggunakan perkhidmatan JPJ,” katanya. –BH

Google ads
Back to top button