
JPJ DEMO PROSES VTA DAN HOMOLOGASI KEPADA MEDIA. GUNA BMW iX xDrive40i
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah membentangkan proses Kelulusan Kenis Kenderaan (VTA) dan homologasi kenderaan kepada media buat pertama kalinya menggunakan BMW iX xDrive40i.
Demonstrasi media tersebut mendedahkan prosedur pemeriksaan dan penilaian yang digunakan secara rasmi oleh JPJ untuk memastikan sesebuah kenderaan mematuhi Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Peraturan Pengangkutan Jalan di Malaysia, sebelum pendaftaran kenderaan tersebut dibenarkan.
“Kami berbesar hati kerana JPJ memilih BMW Malaysia sebagai rakan kongsi untuk demonstrasi proses VTA dan homologasi kenderaan di Malaysia.
“Kami juga gembira kerana JPJ mengambil peluang untuk mendemonstrasikan proses tersebut menggunakan EV BMW iX xDrive40i yang akan diperkenalkan di Malaysia bersama barisan kenderaan BMW i generasi baharu lain pada tahun hadapan.

“Ketibaan jentera BMW i terbaharu ini merupakan sebahagian daripada strategi elektrifikasi kami yang akan melengkapi matlamat mobiliti elektro Malaysia untuk tahun 2022. Terutama selepas kerajaan mengumumkan insentif cukai dan polisi baharu untuk pembuat dan pemilik kenderaan elektrik,” kata Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Hans de Visser.
Ketua Pengarah JPJ, Dato’ Zailani Hj Hashim memberitahu sebagai pihak yang bertanggungjawab untuk menjalankan penilaian, ujian dan kelulusan kenderaan di Malaysia, prosedur VTA adalah diwajibkan bagi semua kenderaan sebelum ia dibenarkan untuk menyusuri jalan raya Malaysia.
“Saya berharap penglibatan media serta publisiti yang diberikan ke atas demonstrasi hari ini dapat membekalkan pemahaman yang lebih mendalam mengenai peranan dan fungsi Jabatan Kejuruteraan Automotif, JPJ serta prosedur VTA.
“Selain menggambarkan peranan kerajaan dan JPJ untuk menjamin tahap keselamatan yang optimum bagi pengguna jalan raya di Malaysia,” jelas Zailani.

Untuk makluman, Malaysia merupakan salah satu daripada 63 buah negara Pejanji dalam satu perjanjian multi-lateral Perjanjian 1958 di bawah rangka kerja World Forum Harmonization of Vehicle Regulation (WP20).
Satu peraturan telah dibangunkan oleh kumpulan pakar antarabangsa untuk diharmonikan dalam kalangan negara Pejanji menerusi kerangka prosedur VTA masing-masing.
Justeru, JPJ menjadikan peraturan UN tersebut sebagai penanda aras utama untuk prosedur VTA dalam usaha mengawal selia standard keselamatan dan pemeliharaan alam sekitar yang ada pada sesebuah kenderaan agar seiring dengan perkembangan teknologi semasa.