Buletin

JPJ TAHAN LELAKI PANDU BMW X6 TUJUH TAHUN TANPA CUKAI JALAN

Tindakan seorang lelaki memandu kenderaan mewah jenis BMW X6 yang telah tamat tempoh Lesen Kenderaan Motor (LKM) selama tujuh tahun terbongkar apabila ditahan di Lebuhraya Grand Sepadu hala Bukit Raja pada Selasa.

Kenderaan tersebut ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Selangor kira-kira jam 11.30 pagi semasa rondaan sempena Op Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2024.

Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan berkata, selain LKM tamat tempoh, kenderaan tersebut juga tidak mempunyai perlindungan insurans.

“Kenderaan mewah itu dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia 59 tahun.

“Alasan diberikan tidak memperbaharui cukai jalan kerana memandu untuk jarak dekat dan membeli kenderaan itu dengan tidak menukar nama,” katanya.

Mengulas lanjut, Azrin berkata, kenderaan tersebut telah disita di bawah Seksyen 64(1) dan dibawa ke JPJ Shah Alam.

Kata beliau, kesalahan tidak memiliki insurans perlindungan kenderaan yang sah boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 90 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga bulan atau kedua-duanya,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, sebarang aduan kesalahan lalu lintas, orang ramai boleh menyalurkan kepada [email protected] atau platform aplikasi e-aduan berserta butiran pengadu serta butiran aduan. – Sinar Harian

Google ads
Back to top button