" "
Buletin

KPDN, JPJ CARI PENYELESAIAN KEGIATAN EJEN TIPU PEMERIKSAAN PUSPAKOM

Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan bertemu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi perbincangan mengenai kegiatan ‘ejen kosmetik’ yangmenyediakan khidmat  kepada kenderaan berat termasuk ‘sewa tayar’ pada minggu depan.

Antara lain, perbincangan itu dijangka memberi perhatian kepada bidang kuasa yang boleh diperhalusi bagi membolehkan tindakan undang-undang diambil secara bersama oleh kedua-dua agensi terbabit terhadap pihak berkenaan.

Ketua Pengarah Penguatkuasaan KPDN, Datuk Azman Adam, ketika mengesahkan pertemuan itu, berkata Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, ada menghubunginya semalam.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak dapat berkongsi butiran perbincangan di antara mereka sehingga pertemuan yang dirancang itu berlangsung.

“Biar kita bincang dulu dengan JPJ, baru boleh beri kenyataan. Kita belum berbincang lagi dan belum tahu hasil (outcome) daripada perbincangan itu lagi.

“Perbincangan akan dibuat minggu ini (minggu depan). Beliau ada hubungi saya semalam, selepas selesai bincang (kelak), baru saya boleh beritahu.

“Kita akan bincang dan tengok bidang kuasa apa yang boleh diperhalusi, itu yang kena tengok secara terperinci,” katanya.

JPJ mengakui wujud perkhidmatan digelar ‘ejen kosmetik’ menyediakan khidmat kepada kenderaan berat termasuk ‘sewa tayar’ untuk mendapat kelulusan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).

Sehubungan itu, Aedy Fadly dilaporkan berkata JPJ sedang merangka tindakan melalui kerjasama dengan KPDN bagi menangani isu berkenaan.

Katanya, tindakan itu satu penipuan yang berbahaya kerana ketika menjalani pemeriksaan di PUSPAKOM mereka menggunakan tayar kenderaan yang disewa dan elok keadaannya berbanding tayar sebenar.

Bagaimanapun, JPJ tiada kuasa untuk masuk ke premis berkenaan dan pihaknya akan berbincang dengan KPDN berhubung perkara itu dalam masa terdekat. – Berita Harian

Google ads
Back to top button