VOLKSWAGEN PERNAH HASILKAN ENJIN VR-5, 5 SILINDER V
Walaupun pada masa kini kebanyakan enjin yang digunakan oleh Volkswagen adalah enjin 4 silinder sebaris, namun pada tahun 1990an dan awal 2000 Volkswagen menghasilkan pelbagai jenis enjin untuk kegunaan jentera mereka termasuklah enjin 5 silinder yang disusun dalam huruf V.
Dikenali dengan nama VR-5, enjin ini direka dengan sesaran mencapai 2300cc, dalam huruf V dengan sudut 15 darjah Celcius. Satu blok enjin menempatkan 3 silinder dan satu lagi adalah 2 silinder dengan kedua dua blok berkongsi engine head yang sama
Enjin VR-5 ini adalah berasal daripada enjin VR-6, dihasilkan oleh Volkswagen dengan tujuan menghasilkan kuasa enjin yang lebih besar tanpa menggunakan turbo. Cara yang mudah ialah menghasilkan lebih banyak silinder dan piston
Bagi rekaan yang kompak, Volkswagen menggunakan blok V-6 dengan satu kepala silinder dan dalam bahasa Jerman enjin yang disusun dalam sebaris dikenali sebagai reihenmotor dan singkatan VR-6 adalah nama yang paling sesuai.
Enjin VR-6 ini digunakan pada model awal Golf dan Corrado serta diaplikasikan pada kebanyakan model Volkswagen yang lain dalam konfigurasi FF dan juga FR. Malah Porsche Cayenne generasi pertama juga menggunakan enjin VR-6 dan enjin ini terus dihasilkan untuk pasaran di China pada hari ini.
Walaupun dalam susunan V, tetapi dari segi operasi ia masih lagi sebuah enjin 6 silinder sebaris. Bagi enjin VR-5, ia dihasilkan dengan membuang satu silinder dengan arahan pembakaran silinder adalah 1-2-4-5-3. Selain sudut pada 15 darjah, enjin ini juga dipasang dengan pengimbang berat untuk beroperasi dengan lancar.
Ia juga dipasang dengan dual mass flywheel untuk mengurangkan gegaran. Saiz diameter silinder dan lejang adalah 81mm dan 90.2mm, sama seperti enjin VR-6. Nisbah mampatan pula ditetapkan pada 10:1. Model Golf 1997 adalah kereta pertama yang menggunakan enjin VR-5 2.3 ini
Bagi Golf, enjin ini menjana sehingga 150 kuasa kuda dan 203Nm tork, dengan rekaan 2 injap per silinder. Pada tahun 2000, versi 4 injap diperkenalkan namun masih lagi mengekalkan rekaan 2 aci sesondol. Kebanyakan enjin V6 akan menggunakan 4 aci sesondol. Kuasa enjin meningkat kepada 170hp dan 227Nm tork
Tetapi masalah mula timbul selepas enjin 1800cc 4 silinder turbo diperkenalkan dengan enjin VR-5 gagal menandingi kuasa yang dihasilkan oleh enjin yang lebih kecil. Ditambah pula dengan keupayaan enjin turbo untuk memberikan bacaan bahan api yang lebih baik, masa depan enjin VR-5 menjadi semakin samar
Selain dari itu, enjin VR-5 dan VR-6 sebenarnya lebih mahal untuk dihasilkan, menyebabkan enjin VR-5 ini kemudian dihasilkan dalam bentuk enjin 5 silinder sebaris sebelum dihentikan sepenuhnya menjelang tahun 2010an bagi memberikan laluan kepada enjin 4 silinder sebaris dengan turbo
Tetapi enjin VR-5 dan VR-6 ini walaupun telah berkubur, ia telah menjadi asas rekaan kepada enjin W16 silinder 8000cc yang digunakan oleh Bugatti