Buletin

PENGELUAR KENDERAAN DAN FIRMA BARANGAN MEWAH DI CHINA MULA RASAI IMPAK CORONAVIRUS

Pengeluar kenderaan dan firma produk mewah mula merasai impak akibat penyebaran virus berbahaya, coronavirus sekali gus mungkin memburukkan lagi keadaan ekonomi China yang sudah sedia perlahan. 

Wuhan yang menjadi punca penyebaran virus tersebut merupakan salah satu ‘bandar automotif’ China dengan beberapa kilang berperanan membekalkan kereta ke pasaran tempatan. General Motors (GM), Nissan, Renault, Honda dan PSA Group ialah antara pengeluar yang memiliki kilang besar di Wuhan. 

Semua pengeluar asing itu mengoperasikan kilang masing-masing menerusi kerjasama dengan syarikat China. Sebagai contoh, kilang GM-SAIC menggaji 6,000 kakitangan, hampir 10 peratus tenaga kerja GM di China. 

Bandar yang dihuni oleh 11 juta orang itu kini hampir ditutup selepas lapangan terbang dan stesen keretapi tidak lagi menghantar keluar penumpang kerana bimbang wabak itu merebak. Semua operasi pengangkutan awam turut digantung sementara dan sejumlah lebuh raya utama ditutup. 

Gangguan pengangkutan pastinya membuatkan pemilik perniagaan sakit kepala, apatah lagi ketika jualan kereta kian merudum. Industri automotif dunia kini dilihat sedang mengalami kemelesetan serius, tanpa ada sebarang tanda akan pulih dalam masa terdekat. 

Jualan kenderaan di China jatuh kepada 2.3 juta unit pada tahun 2019 dan dijangka turun lagi pada tahun ini. Penyebaran coronavirus memburukkan lagi keadaan kerana pengguna kurang berbelanja walaupun ketika sambutan Tahun Baru Cina. 

Jika perbelanjaan ke atas perkhidmatan seperti pengakutan turun 10 peratus, pertumbuhan keseluruhan ekonomi China bakal mengumcup sebanyak 1.2 peratus. 

Jenama barangan mewah yang biasanya menerima durian runtuh sepanjang musim perayaan juga mula mengeluh. LVMH yang memiliki jenama Louis Vuitton dan Fendi menyatakan jualannya jatuh 4.5 peratus. Sementara Gucci dan Balanciaga mengalami keadaan sama dengan 5 peratus. Jualan pembuat jam mewah Cartier, Richemont pula menyusut enam peratus. 

Pada tahun 2018, pengguna di China dan luar negara membelanjakan sekitar AS115 bilion (RM467.5 bilion) ke atas barangan mewah. Angka itu bersamaan satu pertiga daripada perbelanjaan barangan tersebut di seluruh dunia. 

Mazda CX30

Tags
Google ads
Back to top button