Buletin

JUALAN KERETA ASEAN: MALAYSIA TUNJUK PERTUMBUHAN POSITIF – THAILAND, INDONESIA MEROSOT

Pasaran automotif Thailand mengalami kemerosotan ketara sejak awal tahun 2024, dengan jualan yang jauh lebih rendah daripada pengeluaran.

Berdasarkan data dari Persekutuan Automotif ASEAN, jualan kereta di Thailand pada separuh pertama tahun 2024 hanya mencapai 307,671 unit, turun 24 peratus berbanding 406,131 unit pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Sementara itu, pengeluaran kereta di Thailand dalam tempoh yang sama mencapai 761,240 unit, menunjukkan bahawa jualan tidak sampai separuh daripada jumlah pengeluaran.

Penurunan ini menyebabkan Thailand berada di kedudukan ketiga dalam jualan kereta di Asia Tenggara, tepat di bawah Malaysia.

Indonesia juga menghadapi penurunan dalam pasaran automotifnya, dengan penurunan jualan sebanyak 19 peratus, daripada 506,427 unit pada separuh pertama tahun 2023 kepada 408,012 unit pada tempoh yang sama tahun 2024.

Walau bagaimanapun, Indonesia masih mengekalkan kedudukannya sebagai penyumbang terbesar dalam jualan kereta di ASEAN, dengan pegangan pasaran sebanyak 27.3 peratus.

Penurunan paling ketara berlaku pada awal suku kedua tahun 2024, di mana jualan turun daripada 101,272 unit kepada 74,723 unit.

Sebaliknya, Malaysia menunjukkan pertumbuhan positif dalam pasaran automotifnya. Jualan kereta di Malaysia meningkat sebanyak 6.6 peratus, daripada 366,176 unit pada separuh pertama tahun 2023 kepada 390,296 unit pada tempoh yang sama tahun 2024.

Peningkatan ini membolehkan Malaysia semakin mendekati kedudukan Indonesia, dengan jurang jualan hanya 17,716 unit.

Untuk rekod, Mac 2024 mencatatkan jualan tertinggi di Malaysia, mencapai 71,103 unit.

Jualan Kereta di ASEAN Menurun

Secara keseluruhan, pasaran automotif di ASEAN juga mengalami penurunan. Jumlah jualan kereta di ASEAN pada separuh pertama tahun 2024 mencapai 1,492,308 unit, turun 8.9 peratus berbanding 1,637,807 unit pada tempoh yang sama tahun 2023.

Penurunan ini mencerminkan cabaran yang dihadapi oleh pasaran automotif di rantau ini.

Google ads
Back to top button