Buletin

KERETA ‘DITELAN’ LUBANG BENAM, DUA CEDERA KRITIKAL

Sebuah lubang benam secara tiba-tiba terbentuk di tengah jalan raya di bahagian barat Seoul pada pagi Khamis, 29 Ogos, mengakibatkan sebuah kereta terjerumus ke dalamnya.

Dua orang dilaporkan cedera, dengan seorang daripadanya berada dalam keadaan kritikal, menurut pihak berkuasa bomba.

Kejadian berlaku pada pukul 10.26 pagi ketika sebuah kenderaan yang sedang bergerak di Jalan Seongsan-ro, Yeonhui-dong, Seodaemun-gu, barat laut Seoul, menuju ke Jambatan Seongsan, tiba-tiba terbalik ke tepi sebelum terjatuh ke dalam lubang benam tersebut.

Mangsa dalam kereta tersebut adalah pemandu lelaki berusia dalam lingkungan 80-an dan seorang wanita yang berusia 70-an.

Kedua-duanya mengalami kecederaan serius dan telah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan segera.

Menurut laporan Korea JoongAng Daily, wanita tersebut mengalami serangan jantung dan pasukan perubatan terpaksa melakukan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) ke atasnya.

Tambah laporan tersebut, denyutan nadinya kembali pulih selepas beberapa waktu.

Lubang benam dilaporkan berukuran sekitar 6 meter lebar, 4 meter panjang dan 2.5 meter dalam oleh KBS News, menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk di kawasan tersebut.

Pihak berkuasa kini sedang menjalankan siasatan untuk menentukan punca sebenar kejadian tersebut.

Google ads
Back to top button