Pandu Uji

MAZDA 3 HIGH PLUS SEDAN 2023, PENINGKATAN YANG LEBIH BAIK

Fenomena Pareidolia adalah salah satu fenomena yang terjadi apabila kita melihat muka manuasia pada satu objek yang tidak bernyawa. Sebagai contoh kita akan mentafsirkan muka depan Mazda 3 sebagai muka bekas cikgu disiplin yang tegas dengan lampu depan yang sepet sebagai mata, jeriji atas sebagai hidung dan jeriji bawah sebagai mulut.

Rekaan ini mewujudkan satu hubungan yang bersifat peribadi antara pemilik kereta dengan kereta Mazda dan dalam contoh ini Mazda 3 High Plus Sedan. Malah Mazda juga berjaya menghasilkan satu rekaan yang tidak membosankan biarpun setelah bertahun tahun memandu Mazda

Antara konsep yang diperkenalkan oleh Mazda ialah Utsoroi iaitu bagaimana cahaya dan bayang-bayang terhasil apabila cahaya terkena pada permukaan panel badan Mazda disebabkan lekukan pada permukaan kenderaan dan juga penggunaan warna yang istimewa

Apabila kereta Mazda 3 bergerak, ia akan menghasilkan pergerakan cahaya dan bayang bayang yang disebut sebagai Soul of Motion dari arah depan kenderaan ke arah belakang secara infiniti. Ia menghasilkan kesan seolah olah Mazda 3 ini hidup ketika dipandu

Malah Mazda juga bereksperimen dengan penggunaan cat yang istimewa, sebagai contoh warna Red Soul yang membiaskan warna yang berbeza apabila berada di tengah terang, diparkir di tempat redup ataupun dilihat pada sudut-sudut tertentu.

Pendek kata rekaan Mazda ini sebenarnya selamat, susah untuk ditelan zaman biarpun kadangkala dikritik kerana nampak terlalu membosankan. Namun pembaharuan yang sebenar untuk Mazda 3 terletak di bahagian dalam kabin.

Skrin multimedia yang sebelum ini dikritik kerana terlalu kecil sudah dibesarkan menjadi 10.25 inci. Terdapat 2 poin USB disediakan bersama sama dengan satu pengecaj telefon tanpa wayar. Sistem multimedia turut menerima sambungan Apple Car Play tanpa wayar dan juga Android Auto.

Bagi varian Sedan High Plus, ia juga turut menerima kemaskini sistem Mazda Radar Cruise Control, Head Up Display, dan juga cermin suria. Satu perkara yang diperhatikan oleh penulis ialah biarpun skrin multimedia telah bertambah besar, tapi ia tetap tidak mengganggu penglihatan pada arah depan.

Dari segi saiz, Mazda 3 masih mengekalkan jarak antara roda pada 2725mm. Di atas kertas, angka ini nampak seperti besar tapi apabila anda duduk di kusyen belakang barulah anda rasa yang ruang di bahagian belakang tidaklah besar sangat.

Hanya corong penyaman udara dan perehat tangan disediakan di bahagian tengah sekiranya tiada penumpang duduk di situ. Ruang bagasi pula adalah sekitar 440 liter dan boleh dibesarkan sekiranya ruang penyandar dilipat dengan cara 6-:40

Varian 1500cc 4 silinder digugurkan dan Mazda 3 hanya ditawarkan dalam 1 pilihan enjin sahaja iaitu enjin 2000cc 4 silinder SkyActiv G yang menjana sekitar 162 kuasa kuda dan 213Nm tork. Enjin ini digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan automatik lengkap dengan ciri paddleshifter serta ciri Sport Mode sekiranya anda ingin memandu secara agresif.

Mungkin Mazda 3 akan kalah dari segi prestasi pecutan 0-100km/jam namun ia masih lagi berupaya mencapai halaju tertinggi pada 216km/jam. Enjin SkyActiv ini terasa lebih sedap untuk diperah pada halaju tinggi, dengan menghasilkan runut bunyi yang sporti dan beroperasi dengan lancar

Respon enjin adalah lancar dan penghantaran kuasa adalah boleh diagak dengan mudah sama seperti sebuah kereta sport. Sekiranya anda mahu memandu dengan agresif, tekan sahaja butang sport dan kawal penukaran gear secara manual. Mazda 3 akan lebih menyentap ke arah depan dengan lebih agresif.

Mazda meletakkan sasaran penggunaan bahan api sekitar 16.1km/liter petrol tapi untuk bacaan yang realistik dengan pemanduan sebenar Mazda 3 masih memberikan bacaan sekitar 15.5km/liter petrol biarpun dipandu dengan laju melebihi halaju kebangsaan.

Dari segi pengendalian, sistem suspensi Mazda 3 ditala dengan sedikit keras untuk pemanduan yang lebih sporti. Namun untuk mengekalkan keselesaan, ia masih menggunakan tayar touring yang lebih lembut bukannya tayar sport. Malah kusyen juga direka dengan pelapik yang lebih lembut bagi mengimbangkan kekerasan yang ditawarkan oleh sistem suspensi.

Biarpun menggunakan rekaan coupled torsion beam axle untuk gandar belakang, prestasi Mazda 3 terutama di selekoh masih boleh dipuji. Reaksi cesi dan respon pada bahagian belakang masih lagi cepat. Ia cuma sedikit terjejas sekiranya terdapat bonggol atau lubang di tengah selekoh

Sekiranya anda terlalu agresif di selekoh, sistem kawalan elektronik GVC Plus akan masuk untuk menyelamatkan anda menjadikan tugas membetulkan stering dan brek menjadikan proses pemanduan semakin mudah.

Satu-satunya perkara yang penulis rasa kurang serasi dengan penulis ialah pedal brek yang dirasakan sedikit lembut jika dibandingkan dengan pesaingnya yang lain. Cuma dari segi kelebihan, ia menawarkan proses kawalan brek di selekoh dengan kaedah trail braking yang lebih berkesan. Selain daripada itu, anda harus menekan pedal brek dengan lebih kuat sedikit untuk membrek

Dari segi NVH, model 2023 juga didapati lebih senyap dengan penggunaan bahan kedap bunyi yang lebih baik dengan catatan 68dB pada kelajuan 120km/jam. Hanya sesekali enjin akan menghasilkan bunyi pada RPM melebihi 5000.

Kusyen yang disediakan juga sangat selesa untuk perjalanan jarak jauh dengan rekaan penyandar belakang dan sokongan yang baik pada paha, bahu dan juga bahagian belakang. Penulis boleh memandu Mazda 3 dari Perlis ke Johor dan patah balik ke Kelantan untuk menikmati keseronokan pemanduan yang ditawarkan oleh Mazda

Untuk aspek keselamatan Mazda 3 ditawarkan dengan ciri Adaptive Front-lighting System (AFS), High Beam Control (HBC), Blind Spot Monitoring (BSM), Rear Cross Traffic Alert (RCTA), Lane Departure Warning System (LDWS), Lane Keep Assist System (LAS), AEB depan & belakang, serta Mazda Radar Cruise Control (MRCC).

Cuma bagi penulis Mazda 3 patut ditawarkan dengan lampu kabin bagi menawarkan suasana yang lebih premium serta 2 lagi poin USB pada bahagian belakang agar sesuai dengan penawaran harga mencapai RM 166,059 tanpa insuran dan juga cukai jalan.

Dengan harga tertera bakal pembeli akan menikmati 5 tahun servis termasuk alat ganti dan kos buruh secara percuma, kualiti pemasangan daripada kilang Mazda di Hiroshima dengan satu jenama yang eksklusif daripada Jepun serta rasa pemanduan bagaikan sebuah kenderaan Continental

Google ads
Back to top button