
JV MOTORSPORT RACING TEAM DILANCARKAN – GUNA MYVI ‘KING’ AUTO BUAT BERLUMBA DI S1K
JV Motorsport telah melancarkan pasukan perlumbaan mereka untuk Sepang 1000KM (S1K) 2022 yang akan datang. Acara tersebut telah diadakan di 204 Autoworks, Puncak Alam, Selangor pada 13 November 2022 yang lalu.
JV Motorsport sebenarnya telah berada dalam sukan permotoran sejak 2018 dan terlibat secara aktif dalam Malaysian Speed Festival (MSF). Tahun ini, satu lagi langkah dalam bidang sukan permotoran, mereka menyahut cabaran untuk menyertai S1K 2022 dalam Kategori Stock Production.
Pasukan ini akan membariskan tiga pemandu handalan yang terdiri daripada Fariqe Hairuman, Faiz Sulaiman dan juga Shafiq Rosli. Ternyata pemilihan Fariqe Hairuman atau pun lebih mesra disapa Wak Tempe pasti memberikan nilai tambah kepada pasukan ini, apatah lagi beliau hadir dengan reputasi sebagai bekas juara S1K edisi terdahulu.

Dan apa yang menariknya, pasukan ini akan menggunakan kereta Perodua Myvi 1.5 dengan transmisi automatik. Nah, selama ini kita melihatkan King begitu gah di atas lebuhraya mengacah kereta lain. Kali ini King akan masuk trek. Kereta ini akan menjadi yang pertama di Malaysia menyertai S1K justeru pasukan ini dilihat cukup berani menyahut cabaran walaupun tiada data atau rujukan yang boleh digunakan untuk perlumbaan itu terhadap jentera Perodua Myi G3 ini. Keputusan untuk mengambil bahagian hanya bermula pada September 2022 oleh itu, pasukan ini telah bekerja keras untuk mengikut jadual yang padat untuk memastikan kereta lumba mereka bersedia untuk berlumba.
Pasukan ini menerima sokongan penuh daripada JV Autolube sebagai penaja utama. Memandangkan salah satu produk JV Autolube telah terbukti untuk perlumbaan, iaitu minyak enjin mereka, mereka akan menguji produk baharu mereka, Automatic Transmission Fluid (ATF) bernama Titanium sewaktu perlumbaan nanti.
Pada masa yang sama, DMM Sales Sdn Bhd, melalui sub-bahagian mereka, DMM Performance, turut hadir sebagai Rakan Kongsi Teknikal bersama 204 Autoworks dan Motor Addict Autohaus. Kesemua mereka berkongsi pengetahuan dan kepakaran mereka untuk memastikan kereta ini berupaya menamatkan perlumbaan dengan bergaya. Manakala FTuned Racing Suspension, penyedia sistem ampaian buatan tempatan yang handal menyertai pasukan ini sebagai Rakan Kongsi Ride & Handling.

Menurut Wan Ahmad Farouk selaku bos besar FTuned, tetapan sistem ampaian mereka turut mengambil kira berat pemandu termasuklah ketika jentera ini mengambil selekoh. Paling penting, FTuned membuat tetapan menggunakan teknik string alignment yang mana ianya lebih tepat berbanding menggunakan mesin. Perkara ini turut diakui oleh Fariqe yang menyatakan bahawa pengendalian jentera ini mempunyai kesimbangan yang cukup baik untuk meratah setiap selekoh di Litar Sepang.
Pun begitu menurut Fariqe yang BK temubual secara maya sahaja, menyatakan sasaran utama mereka adalah untuk menamatkan saingan sahaja dan mengumpul data data penting terhadap jentera yang digunakan di masa mendatang. Podium mungkin bonus buat mereka.

Wrap Autoworks turut hadir bersama dengan Reban Blackbird untuk mereka bentuk livery kereta lumba ini disamping Nthree Brek Specialist menyediakan set Sistem Brek Empat Pot. Pasukan ini juga sukacita ingin memaklumkan bahawa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) turut berminat untuk menyertai pasukan dan mereka akan menyediakan sokongan teknologi bahan pelincir.
Apa pun, semoga kehadiran Perodua Myvi King ini di Litar Sepang berupaya mendatangkan kejayaan buat pasukan.
Kredit Foto : Wan Ahmad Farouk