Artikel Pilihan

KALAU GUNA MINYAK SEMI SINTETIK WAJIB TUKAR 7000KM? ATAU 5000KM?

Betul tak setiap kali anda membawa kereta untuk ke pusat servis akan ada 3 pilihan minyak enjin? Pomen akan memberikan pandangan seperti beriku ” 1. Kalau guna minyak mineral, sela masa servis ialah 5000km, kalau guna minyak semi sintetik sela masa 7000km, sintetik penuh boleh lajak ke 10,000km”. Kalau guna ibu minyak guna sampai kimat ( yang ni bohong)

Isu yang kami cuba sampaikan di sini ialah betul ke sela masa servis kereta adalah berdasarkan minyak enjin yang digunakan? Pendapat dan pandangan ini mula diturunkan dari generasi ke generasi tanpa proses semak semula. Dan sebagai warga wecet yang malas membaca, kita pun terus percaya bulat-bulat pandangan tersebut. Sebab itu lah ada orang percaya minyak masak boleh digunakan sebagai minyak enjin

Dalam isu ini ada beberapa pihak yang berkepentingan yang mengkaji keperluan bendalir dalam enjin serta apakah spesifikasi yang paling bagus untuk digunakan. Bagi memudahkan pemahaman saya ringkaskan 2 badan tersebut iaitu Society of Automotive Engineer (SAE) dan juga American Petroleum Institute. SAE akan menetapkan halatuju pembangunan enjin serta spesifikasi bendalir dan API akan sedaya upaya memenuhi keperluan yang ditetapkan oleh SAE.

SAE atau industri automotif akan sentiasa membangunkan enjin baru, yang lebih jimat, bersih dan berkuasa. Jadi tahun demi tahun kita akan melihat enjin yang lebih berteknologi, berkuasa dan menjimatkan bahan api akan mula dipasarkan. Sebagai contoh semua jurutera tahu, bagi meningkatkan kecekapan haba atau therma bagi enjin mereka harus menaikkan nisbah mampatan enjin.

API SM SAE 5W-30

Nisbah mampatan enjin dari tahun 1925 sehingga 2020 akan sentiasa meningkat. 100 tahun lepas nisbah mampatan enjin petrol hanyalah sekitar 4:1. Tahun lepas Mazda membuktikan mereka mampu menghasilkan enjin SkyActiv-X dengan nisbah sehingga 16:1. Apabila nisbah mampatan semakin tinggi, tekanan dalam kebuk pembakaran menjadi semakin tinggi. Haba yang dihasilkan juga menjadi semakin tinggi.

Dan jurutera menghasilkan pelbagai teknologi bagi menjadikan enjin beroperasi dengan lebih cekap bermula dengan teknologi VVT, VVT-i, dual VVT-i, VTEC, i-VTEC, VTEC Turbo dan juga CVVD. Kesemua tambahan fungsi dan komponen ini akan menjadikan enjin semakin cekap tenaga, berkuasa namun pada masa yang sama ia menjadi semakin kompleks dan menuntut spesifikasi minyak pelincir yang lebih bagus.

API SN SAE 0W-20

Maka tidak hairanlah gred minyak pelincir enjin akan sentiasa diperbaharui dari masa ke semasa. Ia diberikan dengan gred nama API SA yang bermula sebelum tahun 1930. API merupakan singkatan bagi American Petroleum Institute, S pula merujuk kepada singkatan Spark dan huruf di belakang S merujuk kepada gred. Gred terkini yang digunakan ialah SN Plus. Sekiranya minyak tersebut untuk enjin disel, maka gred yang digunakan ialah C (compress).

Berbalik kepada isu berapa jauh sela masa jarak servis, sebelum pengenalan minyak enjin dengan gred API SM pada tahun 2004, setiap kali melakukan servis pomen akan meletakkan pelekat peringatan servis dalam masa 5000km kerana pada waktu itu gred minyak API SL dan ke bawah (SJ dan SH) tidak memiliki bahan tambah yang sesuai untuk membolehkan ia bertahan sehingga 10,000km

API SL – SAE 5W-30

Apabila Kesatuan Eropah membangkitkan isu pencemaran alam sekitar akibat aktiviti penukaran minyak pelincir yang tercemar, maka pihak industri memperkenalkan gred minyak enjin yang dikenali dengan nama API SM bagi menggantikan API SL. Gred SM adalah setara dengan gred ILSAC GF-4.

Mazda CX30

ILSAC merupakan singkatan kepada International Lubricant Standardization and Approval Committee yang merupakan satu badan yang mengawal dan memberi penarafan kepada minyak pelincir yang digunakan dalam industri. Jadi walaupun dengan hanya menggunakan formulasi campuran mineral dan sintetik, dengan gred SM minyak pelincir ini mampu bertahan sehingga 10,000km

3 jenis minyak yang diperkenalkan oleh Proton bagi kegunaan pusat servis. Mineral, semi sintetik dan sintetik penuh.

Selain dari isu alam sekitar, Kesatuan Eropah juga prihatin dengan kandungan fosforus yang dimasukkan dalam minyak pelincir yang bertujuan untuk memberi perlindungan tambahan kepada injap dan tapet bagi enjin lama. Namun pada masa yang sama fosforus ini akan terbebas ke sistem ekzos, mengotori sistem cataltyc converter dan seterusnya asap beracun terbebas.

Apabila minyak pelincir gred API SM diperkenalkan, kandungan fosforus dikurangkan dari 1200ppm kepada 600ppm. Fungsi fosforus sebagai agen anti hakisan digantikan dengan molebdynum. Malah dalam ujian yang dilakukan oleh API sendiri membuktikan perlindungan yang diberikan oleh gred SM lebih baik dari SL.

Salah satu perkembangan dalam industri automotif ialah pengenalan enjin dengan sesaran kecil yang dipasang dengan turbo. Walaupun ia efisyen apabila dipandu dengan berhemah, pengenalan sistem turbo menjadikan tekanan dalam enjin semakin tinggi serta suhu yang tinggi. Jadi pada tahun 2010 gred API SN mula diperkenalkan.

Selain lebih baik dari API SM, gred SN juga direka bagi menghalang pembentukan deposit karbon pada permukaan piston, kawalan pembentukan lumpur karbon di dalam enjin dan kedapan antara piston dan silinder yang lebih baik. Bagi gred API SN dengan Resources Conserving, ia menawarkan penjimatan bahan api, perlindungan pada sistem turbo serta perlindungan enjin jika kereta menggunakan bahan api ethanol E85

This image has an empty alt attribute; its file name is 7000-0W-16-4L.jpg

Salah satu masalah yang dihadapi oleh enjin turbo ialah ketukan atau knocking. Namun bagi enjin turbo masalah ini berlaku pada RPM enjin yang lebih rendah dan dikenali dengan nama Low Speed Pre-Ignition. Bagi mengatasi masalah ini gred API SN Plus diperkenalkan

Jadi berbalik semula kepada persoalan di atas, apakah jarak yang sesuai untuk menukar minyak pelincir kereta anda? Bagi kami anda kena rujuk pada buku manual yang disertakan dalam kereta semasa pembelian. Buku manual akan menyatakan kelikatan minyak pelincir yang sesuai serta gred yang diperlukan. Biasanya ia turut mencadangkan beberapa pilihan alternatif sekiranya pilihan pertama tidak dapat diperolehi

Meter Honda Civic yang dilengkapi dengan sistem pemantauan tahap kualiti minyak enjin

Ini bermakna sekiranya kereta anda menggunakan API SL serta pengeluar mencadangkan servis berkala perlu dilakukan pada setiap 5000km, maka ikut sahaja nasihat tersebut. Namun jika anda ingin menaiktaraf kepada minyak pelincir gred terbaru seperti API SM atau API SN yang ada sela masa yang lebih panjang, cuba semak adakah penapis minyak enjin boleh digunakan sehingga 10,000km atau perlu ditukar setiap 5000km

Tapi sekiranya anda membeli kereta baru, kebanyakan enjin sudahpun menetapkan minyak pelincir dengan gred API SN, maka tak usah buat palatao dengan memandai mandai servis di luar pusat servis. Selain menggunakan minyak enjin kelikatan yang tidak tepat, gred minyak mungkin juga tidak tepat

Sela masa servis bagi Proton Saga denga minyak semi sintetik

Sekiranya anda perlu melakukan servis di luar pusat servis, maka gunakan balik spesifikasi minyak pelincir asal seperti kelikatan yang betul, gred minyak yang betul serta penapis minyak enjin yang original. Kalau pengeluar menyatakan servis boleh dilakukan setiap 10,000 mengapa perlu tukar minyak 5000km sekali. Kadang kadang nasihat servis ini dibuat berdasarkan keuntungan, lebih kerap kereta anda diservis, lebih mudah mereka mencapai target jualan

Maka tidak hairanlah sekiranya anda ke pusat servis penasihat servis akan mencadangkan agar anda menggunakan minyak sintetik penuh bagi servis dengan sela masa 10,000km. Atau mereka akan mencadangkan minyak semi sintetik dengan sela masa servis 7000km sahaja, walaupun laman sesawang syarikat mencadangkan sela masa 10,000km dengan hanya menggunakan minyak semi sintetik.

Google ads
Back to top button