Artikel Pilihan

CORONAVIRUS PAKSA LAMBORGHINI HENTIKAN PENGELUARAN

Seluruh dunia sedia maklum dengan wabak terbaru yang melanda banyak negara sehingga menjejaskan urusan seharian kita. Bologna di Itali merupakan bandar popular kerana ia menempatkan kilang pengeluaran Lamborghini dan malangnya ia juga terletak di tengah-tengah kawasan yang paling teruk dilanda wabak coronavirus.

Malah Itali sendiri merupakan negara Eropah yang terjejas teruk akibat wabak ini sehingga memaksa Lamborghini mengambil langkah menutup kilangnya sehingga sekurang-kurangnya 25 Mac ini.

Keputusan diambil berikutan arahan kerajaan yang melaksanakan perintah berkurung dan ia mungkin bukan satu langkah yang memeranjatkan kerana rata-rata jalan raya dan lokasi di Itali kini sunyi sepi dari kelibat manusia.

Stefano Domenicali, CEO Lamborghini juga berkata langkah diambil juga sebagai memenuhi tanggungjawab sosial dan menunjukkan sensitiviti mereka kepada masalah terbaru ini yang bukan hanya melanda Itali tetapi juga turut berkembang ke seluruh dunia.

Pesaing terdekat mereka, Ferrari yang membina kereta-kereta di Maranello masih terus beroperasi tetapi juga menutup operasi muzium mereka kepada orang ramai sebagai langkah berjaga-jaga.

Ferrari menyatakan yang mereka sudah mengambil langkah berjaga-jaga dan membenarkan pekerja mereka berkerja dalam keadaan yang terbaik dan meneruskan kerja dalam persekitaran yang terkawal. Namun memandangkan keadaan yang semakin buruk hari demi hari, tidak  mustahil mereka akan mengambil langkah yang sama seperti Lamborghini dalam masa terdekat.

Kilang pengeluaran Lamborghini di Sant’Agata telah berkembang beberapa tahun lalu dan fasiliti ini telah menghasilkan 8,000 unit kenderaan tahun lepas. Bukan satu jumlah yang besar untuk pengeluar bertaraf dunia tapi kita tengah cerita tentang pengeluar supercar dan bukannya pengeluar kereta kompak untuk hantar anak ke sekolah. Mereka sebenarnya cukup berjaya untuk pengeluar model eksotik bernilai jutaan ringgit seunit.

Sama ada kilang mereka akan mampu beroperasi kembali pada 25 Mac nanti belum dapat dipastikan lagi tapi situasi yang disebabkan oleh coronavirus ataupun Covid-19 ini memang mencetuskan keresahan semua hari demi hari. Jangan dibuat main weh.

Google ads
Back to top button