Artikel Pilihan

BOLEHKAH MINYAK MASAK JADI MINYAK PELINCIR?

Beberapa hari lepas, tular di media sosial berkenaan hantaran di Facebook bagaiman seorang pengguna mendakwa telah menggunakan minyak masak sebagai minyak pelincir untuk kegunaan Proton Wira beliau.

Menurut hantaran tersebut, dia terdorong untuk menggunakan minyak masak selepas menonton satu video di saluran Youtube menceritakan seorang pengguna mendakwa sudah 10 tahun menggunakan minyak masak sebagai minyak enjin.

Sebenarnya, penulis merasa malas untuk mengulas isu ini kerana ia berita picisan yang dimuat naik tanpa usul periksa. Adalah lebih baik untuk penulis menonton semula semua filem Avengers berbanding dengan menulis artikel ini.

Namun selepas ia mendapat liputan hangat sehingga mendapat 18,000 tanda suka dan 4100 perkongsian, penulis merasakan ia perlu dijawab dengan betul dan terperinci agar ia tidak mengundang salah faham di kalangan masyarakat.

Apatah lagi jika perkara ini diketahui oleh pihak berkuasa yang mabuk sawit, ia akan bertambah haru biru.

Untuk pengetahuan pembaca sekalian, penggunaan minyak sawit dalam industri automatif bukanlah satu perkara baru kerana minyak disel yang digunakan oleh rakyat malaysia sekarang sudahpun mengandungi campuran sehingga 10% minyak sawit.

Walaupun terdapat beberapa isu teknikal di kalangan professional dan pemain industri automatif, kerajaan meneruskan juga pelan penggunaan minyak sawit ini.

Ada beberapa perkara yang ingin ditimbulkan oleh penulis berdasarkan hantaran terbabit seperti:

1. Berdasarkan model dan enjin yang digunakan, penulis percaya yang enjin yang digunakan ialah enjin lama Proton dari siri 4G13 (1300cc) dan juga 4G15 (1500cc) yang mana kedua dua enjin memerlukan sekurang-kurangnya 3 liter minyak pelincir. Adakah cukup meletakkan 2 plastik minyak yang mengandungi 2kilo minyak masak?

2. Sekiranya enjin tersebut baru diservis, di manakah minyak lama yang telah digunakan atau ia telah terbakar semasa operasi enjin dan perlu ditambah dari masa ke semasa?

3. Berapa lama sela masa service atau jarak dalam kilometer sebelum kereta ini diservis semula?

Minyak pelincir yang digunakan di dalam enjin mestilah bertindak sebagai pelincir, medium penyejukan, dan sebagai medium untuk membuang pelbagai sisa bahan cemar yang terhasil semasa enjin beroperasi. Ia mestilah tahan lasak untuk digunakan pada suhu yang amat tinggi kerana suhu nyalaan petrol dan oksigen semasa pembakaran boleh mencecah 2500 darjah celsius. Gesaan dari Agensi Alam Sekitar mendorong sesetengah pengeluar kenderaan di Eropah untuk menggunakan minyak pelincir sehingga 15,000km sebelum ditukar semula.

Keadaan menjadi semakin mencabar buat masa sekarang kerana trend semasa dalam perkembangan teknologi automotif yang mula menggunakan enjin berkapasiti kecil dan dipadankan dengan teknologi turbo menjadikan suhu operasi semakin tinggi, beroperasi pada RPM yang tinggi, tolerensi antara bahagian enjin yang menjadi semakin kecil dan juga kuantiti minyak pelincir yang semakin sedikit diperlukan oleh enjin. Semua ini memaksa pengeluar minyak pelincir untuk menghasilkan produk yang semakin baik saban tahun.

Semasa enjin beroperasi, suhu komponen enjin akan mencapai suhu maksima (darjah Celcius) seperti berikut:

1. Intake Manifold – 60

2. Intake Valve – 250

3. Spark Plug – 600

4. Exhaust Valve – 650

5. Gas Ekzos – 450

6. Permukaan Piston – 300

7. Permukaan Silinder – 185

8. Piston Ring – 220

9. Cecair penyejuk di dalam water jacket – 105

10. Sistem Turbo – 1000

Disebabkan enjin pembakaran dalam ini bukanlah ciptaan yang sempurna, hanya 1/3 tenaga kimia yang berada dalam petrol akan digunakan untuk menggerakkan kereta. 1/3 lagi akan dilepaskan sebagai tenaga haba dalam asap ekzos, dan 1/3 lagi akan diserap oleh komponen enjin.

Ditambah pula dengan cuaca Malaysia yang panas dan lembap sepanjang tahun, kesesakan jalan raya yang berlaku selang sehari, minyak pelincir dalam enjin yang moden terpaksa bekerja dalam cuaca dan suhu yang ekstrim. Ia mestilah tidak teroksida pada kebuk pembakaran, atau mana mana titik panas seperti di permukaan piston ataupun pada piston ring sendiri.

Minyak pelincir juga mestilah mempunyai kekuatan untuk memastikan tiada sentuhan dan pergeseran antara komponen besi walaupun enjin beroperasi pada kelajuan tinggi dan sentiasa melindungi komponen enjin dari proses pengaratan.

Fungsi Minyak Pelincir

Minyak pelincir yang bagus mestilah memenuhi kiriteria seperti:

1. Untuk melincirkan pergerakan komponen enjin dan mengurangkan kehausan enjin. Minyak yang bagus akan mengurangkan geseran dan menjadikan enjin lebih efisyen

2. Bertindak sebagai ejen penyejukan dan mengurangkan risiko “knocking”. Sesetengah enjin akan memancutkan minyak pelincir di bawah piston untuk proses penyejukan

3. Menyingkirkan segala bahan atau sisa kotoran yang terhasil semasa operasi enjin atau serbuk besi yang terhasil

4. Meningkatkan keupayaan “seal ring” yang akan mengurangkan risiko “blowby”

5. Melindungi enjin daripada berkarat

6. Stabil pada suhu tinggi

7. Mempunyai jangka hayat yang lama

Aditif atau Bahan Tambah di dalam Minyak Pelincir

Bahan asas yang digunakan untuk menghasilkan minyak enjin ialah petroleum yang dihasilkan melalui proses penyulingan berperingkat petroleum. Terdapat beberapa agen kimia yang ditambah ke dalam minyak untuk memaksimumkan prestasi minyak pelincir dan memanjangkan jangka hayat enjin. Aditif ini termasuklah:

1. Ejen antifoam atau ejen antibuih untuk mengelakkan minyak pelincir berbuih apabila crankshaft berputar dengan laju

2. Bahan Antioksida untuk mengelakkan oksigen melarut di dalam minyak pelincir

3. Mengandungi ejen anti karat

4. Detergent atau bahan cuci untuk memastikan bahan cemar terus terapung di dalam minyak dan dikeluarkan bila servis

5. Ejen Anti kakisan bagi melawan unsur asid

6. Bahan anti geseran

7. Polimer untuk meningkatkan kelikatan minyak

Kelikatan atau Viscousity

Salah satu sifat minyak ialah kelikatan minyak itu sendiri. Semakin likat minyak pelincir, semakin tinggi daya yang diperlukan untuk minyak bergerak pada satu permukaan atau dipam melalui tiub. Masalah yang timbul ialah kelikatan minyak ini bergantung sepenuhnya pada suhu . Semakin tinggi suhu, semakin rendah kelikatan. Apabila suhu rendah, kelikatan minyak adalah tinggi.

Kelikatan minyak enjin akan diukur dan dikelaskn berdasarkan nombor yang dibuat oleh Society of Automotive Engineer (SAE). Sebagai contoh SAE 5, SAE 10, SAE 20, SAE 30 dan seterusnya. Semakin rendah nilai yang diberikan, semakin kurang kelikatan minyak dan lebih sesuai digunkan untuk cuaca sejuk. Semakin tinggi nilai ini, semakin pekat minyak tersebut dan sesuai untuk cuaca panas.

Dari segi saiz molekul, SAE 10 terdiri daripada rantaian molekul karbon antara 25-35 atom, SAE 20 antara 30-80 atom dan SAE 30 terdiri daripada 40-100 molekul atom dalam satu rantaian. Kita dapati semakin tinggi kelikatan minyak, semakin banyak atom Carbon berada dalam rantaian tersebut.  Namun jika minyak terlalu likat, semakin banyak tenaga yang diperlukan oleh pam minyak enjin untuk menyedut dan mengedarkan minyak di dalam sistem menjadikan ia sebagai “parasitic load”.

Minyak Pelbagai Kelikatan – MultiGrade

Bagi mengatasi masalah minyak enjin yang selalu berubah kelikatan dan bergantung pada suhu persekitaran, minyak pelbagai gred (Multigred) telah dibangunkan agar kelikatan minyak adalah stabil sepanjang operasi enjin. Apabila polimer tertentu dicampurkan ke dalam minyak pelincir, kebergantungan kelikatan minyak terhadap suhu akan berkurang dengan drastik.

Sebagai contoh minyak pelincir dengan gred SAE 10W-30 bermaksud minyak tersebut mempunyai 2 kelikatan berbeza iaitu kelikatan nilai 10 dalam suhu sejuk dan kelikatan nilai 30 pada suhu panas. Ia akan memudahkan enjin dihidupkan pada waktu sejuk dan masih memberikan perlindungan yang mencukupi ketika suhu enjin bertambah panas.

Standard Minyak Pelincir

Malaysia menggunakan satu standard kualiti yang dibuat oleh American Petroluem Institute atau API dimana ia merupakan agensi yang akan menyelaraskan pembangunan minyak pelincir yang perlu dibangunkan oleh syarikat pembekal pelincir dan juga pemain industri automotif. Berikut ialah standard yang pernah dipakai semenjak dari tahun 1930 sehingga sekarang. Standard ini bermula dengan SA dan yang terkini SN. S merujuk kepada Spark Ignition, manakala untuk enjin disel ia bermula dengan CA (Compression Ignition).

Standard APIKegunaan
SAUntuk kereta sehingga tahun 1930
SBUntuk kereta sehingga tahun 1951
SCUntuk kereta sehingga tahun 1957
SDUntuk kereta sehingga tahun 1971
SEUntuk kereta sehingga tahun 1979
SFUntuk kereta sehingga tahun 1988
SGUntuk kereta sehingga tahun 1993
SHUntuk kereta sehingga tahun 1996
SJUntuk kereta sehingga tahun 2001
SLUntuk kereta sehingga tahun 2004
SMUntuk kereta sehingga tahun 2011, pada masa ini gred SM boleh diservis antara sela masa 10,000km
SNDiperkenalkan pada 2010, khas untuk melindungi piston dari deposit karbon dan mengawal deposit kotoran. Gred SN menekankan penjimatan bahan api, melindungi unit turbo, sistem kawalan pencemaran dan sesuai untuk digunakan oleh enjin ethanol E085
SN PlusDirumus khas untuk enjin turbo bagi mengelakkan Low Speed Pre Ignition

Minyak Sintetik

Sejarah minyak pelincir sintetik bermula sekitar 1940an oleh jurutera Jerman yang memerlukan minyak pelincir yang tahan lasak berbanding dengan minyak yang dihasilkan dari petroleum. Ia diperlukan untuk jentera perang Jerman agar ia tahan lasak dan tidak perlu diservis dalam sela masa yang singkat. Malah sesetangah minyak sintetik dihasilkan dari sintesis proses kimia dan menggunakan alkohol. Dari segi molekul, minyak sintetik mempunyai struktur molekul yang lebih sekata dan berat yang seimbang berbanding dengan minyak pelincir yang dihasilkan daripada petroleum.

Ini menjadikan minyak sintetik lebih bagus dari segi prestasi, mengurangkan geseran antara komponen enjin, memiliki detergen yang lebih bagus bagi memastikan enjin sentiasa bersih, rintangan yang lebih rendah dan memerlukan tenaga yang sedikit untuk dipam ke semua bahagian enjin. Dengan ciri penyejukan yang lebih baik, minyak sintetik menawarkan penyejukan yang lebih baik dari minyak biasa, kelikatan yang lebih stabil dan berupaya mengurangkan penggunaan bahan api sehingga 15%.

Perbandingan Minyak Enjin dan Minyak Masak

Penulis telah membentangkan idea bagaimana minyak pelincir patut berfungsi, bahan tambah yang perlu ada dalam minyak pelincir, kelikatan minyak, standard yang digunakan dan juga kelebihan menggunakan minyak sintetik. Jadi beberapa persoalan yang timbul terhadap minyak masak kelapa sawit jika digunakan sebagai minyak pelincir?

1. Berapa nilai kelikatan minyak masak dan adakah ia sesuai untuk digunakan oleh enjin?

2. Berapa bilangan atom karbon minyak masak di dalam satu rantaian molekul?

3. Adakah minyak masak memiliki aditif?

4. Apakah gred yang sesuai untuk minyak masak?

Jika Minyak Masak Digunakan?

Tidak dinafikan bahawa terdapat beberapa kajian yang telah dijalankan oleh pihak universiti tempatan terhadap penggunaan minyak sawit mentah dan juga minyak sawit bertapis (Olein – Refined Bleach Deodorized) ke atas kenderaan bermotor dan juga beberapa kertas kajian yang dibuat terhadap eksperimen terkawal. Dalam eksperimen terbabit, minyak sawit diuji bukan di dalam enjin kereta, tetapi beberapa peralatan kajian makmal yang tidak mencerminkan keadaan sebenar pemanduan dan juga beberapa isu yang lain.

Sebagai contoh “smoke point” bagi minyak masak bertapis adalah sekitar 231 darjah Celcius yang mana ia adalah setara dengan minyak pelincir dari jenama tempatan. Namun, adakah minyak masak boleh bertahan sekiranya ia disembur di bawah piston yang menghasilkan kira kira 300 darjah Celcius atau digunakan untuk melincirkan pin sistem turbo? Jika minyak pelincir yang biasa digunakan, ia masih mempunyai aditif seperti agen anti oksida dan juga polimer yang akan mengelakkan minyak pelincir menjadi teroksida dan juga kelikatan minyak berkurang.

Salah satu lagi isu yang berkaitan dengan minyak masak ialah kandungan asid lemak. Jika dilihat dari struktur minyak masak, ia memiliki molekul ikatan unsur karbon, oksigen dan juga hidrogen. Unsur carbon dan hidrogen ini boleh terbebas sekiranya molekul miyak teroksida. Semasa proses pembakaran berlaku, unsur air akan wujud di dalam enjin walupun sedikit sebagai hasil sampingan pembakaran. Air dan unsur karbon dan hidrogen ini boleh bergabung dan membentuk unsur asid. Unsur asid ini tidak bagus dan boleh menyebabkan kakisan pada enjin.

Sekiranya minyak enjin digunakan, fenomena ini dapat dihalang kerana minyak enjin mengandungi ejen anti kakisan dan ejen anti karat bagi menghalang pengaratan berlaku. Pada masa yang sama, penulis tidak menafikan yang minyak sawit mentah atau Crude Palm Oil boleh digunakan untuk menggantikan petroleum sebagai asas pembuatan minyak pelincir

Kos cari gali petroluem mentah semakin hari semakin meningkat dan kadangkala ia berada di luar kawasan Exclusive Economic Zone Malaysia. Masalah lanun, kawalan keselamatan, perebutan sempadan dengan negara jiran dan juga masalah logistik akan menyebabkan kos petroluem akan meningkat. Sekiranya Crude Palm Oil digunakan, ia dapat meningkatkan ekonomi negara sebagai pengeluar dan juga pusat pemproses minyak sawit. Lagipun penulis sudah muak menelan sesudu minyak sawit sehari untuk tujuan awet muda.

Jadi kajian menyeluruh perlu dilakukan untuk menjadikan Crude Palm Oil sesuai digunaka dan bahan aditif yang kompetitif perlu diperkenalkan bagi meningkatkan daya saing minyak sawit sebagai minyak pelincir. Mana tahu 10 tahun lagi aset aset syarikat petroleum negara bukan berada di tengah laut, tapi di daratan.

Jadi berbalik kepada soalan di atas apakah minyak masak bertapis sesuai digunakan sebagai minyak pelincir? Penulis membiarkan soalan dijawab oleh pembaca yang bijaksana untuk menjawab persoalan tersebut. Sekiranya perlu, penulis sudi menawarkan 4 unit minyak masak (4 liter) percuma untuk dicuba pada enjin turbodiesel, enjin petrol turbo pancitan bahan api terus, enjin dual VVTi dan juga enjin iVTEC milik pembaca. Mana tahu minyak masak ini sesuai untuk anda. Namun jika ada kerosakan, sila tanggung sendiri ya.

Google ads
Back to top button