
KANADA BAKAL PERKENALKAN LAMPU ISYARAT ‘FRED’ DI KAWASAN SEKOLAH
Kanada, atau lebih tepat, di Montreal, kini mengambil pendekatan keselamatan berbeza apabila bakal memperkenalkan lampu isyarat yang hanya bertukar hijau sekiranya pemandu mengekalkan had kelajuan.
Lampu isyarat itu dinamakan sebagai feu de ralentissement éducatif (FRED), di mana ia direka bentuk untuk kekal merah jika pemandu tidak mematuhi had laju ditetapkan.
Lebih terperinci, lampu isyarat itu masih lagi dalam percubaan ujian dan akan dipasang di kawasan sekolah.

“Di seluruh Kanada, berhampiran zon sekolah, orang ramai meminta langkah konkrit untuk mengawal kelajuan. Teknologi ini belum diterima oleh kerajaan, tetapi kami akan melakukan ujian,” kata Datuk Bandar Brossard, Doreen Assaad.
Tambah beliau, walaupun ini kali pertama ia dicuba di Kanada, lampu isyarat serupa telah digunakan secara meluas di seluruh Eropah selama bertahun-tahun.
Sebelum lampu dipasang, purata kelajuan kenderaan di kawasan berkenaan adalah 40km/j. Tetapi pada minggu lalu, kelajuan purata menurun kepada 29km/j.
“Ini adalah infrastruktur menarik terutamanya apabila kita memikirkan semula trafik dan tinggal di bandar. Saya juga mempertimbangkan menambah warna keempat pada lampu isyarat, khas untuk kenderaan autonomi.” Kata Doreen Assaad.






