POLIS KANADA PERTIMBANG GUNA KERETA PERONDA ELEKTRIK
Selain daripada pihak berkuasa di Amerika Syarikat, pasukan polis di Kanada juga dilaporkan mahu menguji penggunaan kenderaan peronda berkuasa elektrik di negara tersebut.
Salah satu daripada pihak yang berminat adalah Royal Canadian Mounted Police (RCMP) dengan azam untuk mencapai sasaran sifar emisi menjelang tahun 2050, dan model yang bakal diuji merupakan sebuah Ford Mustang Mach-E.
Sebelum ini, beberapa jabatan polis di Amerika Syarikat telah pun menguji penggunaan Mustang Mach-E ini dalam dunia sebenar.
Biarpun SUV elektrik ini mampu melepasi ujian yang telah ditetapkan, sesetengah jabatan polis masih lagi ragu-ragu tentang keupayaan sebenar jentera ini.
Ini kerana dalam dunia sebenar, ia masih lagi belum cukup pantas jika dibandingkan dengan unit seperti Ford Crown Victoria dan Dodge Charger.
Menurut Mark Figueiredo, Pengarah Pengurusan Perolehan pasukan polis RCMP menjelaskan, “terdapat beberapa aspek yang perlu dipertimbangkan, seperti infrastruktur pengecasan yang mencukupi, ruang untuk kelengkapan polis, serta permintaan bateri ketika musim sejuk di sini.
Sebagai makluman, RCMP memiliki lebih daripada 11,000 unit kenderaan di dalam perkhidmatan dengan perolehan tahunan sekitar 1,500 unit kenderaan.