
KERAJAAN KANADA ADAKAN SIDANG KEMUNCAK KERANA PENINGKATAN KES CURI KERETA – DAHSYAT NI
Kecurian kereta yang semakin menjadi-jadi di Kanada sejak beberapa tahun lepas dan kerajaan Kanada membuat keputusan untuk mengadakan siding kemuncak peringkat kebangsaan. Tambah menarik lagi bila kebanyakan kenderaan yang dicuri akhirnya mendarat di seberang laut nun jauh seperti Afrika dan Timur Tengah. Jauh betul perjalanan kereta curi ni.

Menurut kerajaan Kanada, kes kecurian kereta meningkat dengan pantas di seluruh negara. 2022 menyaksikan peningkatan kes curi kereta 50 peratus di Quebec, 48.3 peratus di Ontario dan 34.5 peratus di Atlantic Canada.
Pada tahun yang sama juga dianggarkan 9600 unit kenderaan hilang secara misteri dari Great Toronto Area (GTA) menyaksikan peningkatan sebanyak 300 peratus sejak 2015! Ini berdasarkan laporan daripada Canadian Finance and Leasing Association (CFLA).

Pihak berkuasa menyatakan majoriti kenderaan yang dicuri akan dihantar ke Afrika ataupun Timur Tengah. Selebihnya tinggal di dalam negara dan biasanya digunakan oleh penjenayah. Naya punya kes. Mereka mengharapkan sidang kemuncak yang akan diadakan pada 8 Februari ini akan mampu memberikan idea dan langkah-langkah baru bagi mengatasi masalah ini.
Untuk rekod tahun lepas seorang pemilik Porsche GT3 RS mendakwa kereta beliau yang dicuri telah berjaya dikesan d Dubai namun gagal dibawa kembali kerana kekurangan sumber yang menghulurkan bantuan.
Dalam kes yang lain pula sebuah GMC yang dilengkapi dengan Apple AirTag telah dicuri namun pihak berkuasa tidak bertindak dengan segera menyebabkan kenderaan tersebut sudah pun ‘berlepas’ ke UAE!
Pada masa yang sama pihak polis menyatakan mereka sedang bekerja keras untuk mengatasi isu curi kereta ini. Malah polis Toronto baharu sahaja menggagalkan satu sindiket curi kereta dan merampas beberapa kenderaan bernilai USD1.6 juta. Antara yang berjaya diselamatkan ialah sebuah Lamborghini, sebuah Maybach dan sebuah Ferrari.