Buletin

HONDA MULA UJI KERETA AUTONOMOUS DI JEPUN!

Pada masa sekarang ada dua teknologi kereta yang sedang diusahakan supaya diterima secara meluas. Pertama ialah kenderaan elektrik (EV) dan kedua ialah kereta autonomous (tanpa pemandu).

Kenderaan elektrik telah mula dipasarkan secara serius manakala teknologi autonomi pula sudah dipasang pada model sedia ada dan baharu.

Sebagai contoh kawalan jelajah adaptif, bantuan stereng, brek kecemasan automatik dan pelbagai lagi fungsi bantuan pemanduan adalah sebahagian dari teknologi autonomi.

Industri mengklasifikasikan teknologi ini mengikut Tahap Satu hingga Lima. Kebanyakan kereta pada hari ini berada pada Tahap Satu dan Dua.

Jadi bilakah industri akan menerima kereta autonomous sepenuhnya?

Langkah awal ialah dengan memulakan ujian di jalan raya awam dan beberapa pengeluar telah pun melaksanakannya.

Terbaru Honda mengumumkan permulaan program pengujian kenderaan autonomous pada September 2021.

Program ini adalah sebahagian dari perancangan untuk menawarkan khidmat mobiliti kenderaan autonomous (MaaS) di Jepun di mana Honda merancang untuk memperkenalkannya dengan kerjasama Cruise dan General Motors.

Cruise adalah sebuah syarikat yang menyediakan khidmat e-panggilan tanpa pemandu dan telah memulakan operasi di San Franscisco, Amerika Syarikat.

Program pengujian di Jepun dibuat di bandar Utsunomiya dan Haga di Tochigi yang juga daerah fasiliti penyelidikan dan pembangunan Honda.

Sebagai persediaan kepada ujian menyeluruh, satu peta definisi tinggi (HD) akan dibuat menggunakan kenderaan khas untuk pemetaan.

Selepas peta itu siap, kenderaan autonomous Cruise AV akan dipandu di jalan raya awam untuk membangun dan menguji kenderaan autonomi yang disesuaikan dengan keadaan lalu lintas dan undang-undang serta peraturan di Jepun.

Honda dan Cruise bekerjasama dalam program pengujian ini dan sebuah pusat operasi pengujian akan dibina di fasiliti Honda di Tochigi.

Membuktikan lagi kesungguhan Honda dalam bidang ini ialah penawaran khidmat kenderaan autonomous MaaS pada masa akan datang di Jepun menggunakan model Cruise Origin.

Model itu dibangunkan secara bersama di antara Honda, Cruise dan General Motors dan dibuat khusus untuk khidmat perniagaan kenderaan autonomous.

Subsidiari Honda iaitu Honda Mobility Solutions Co., Ltd akan menjadi pengendali untuk perniagaan MaaS di Jepun.

Maknanya nanti jika anda melancong ke Jepun bukan setakat boleh merasai kereta api laju malah boleh mencuba khidmat kereta tanpa pemandu!

BACA: HONDA AKAN JUAL 30 UNIT SAHAJA NSX TYPE S DI JEPUN. BERMULA RM1.05 JUTA

BACA: HONDA CBR150R RASMI DILANCARKAN. 2 PILIHAN WARNA, BERMULA RM12,499

BACA: KENALI C30A. ENJIN LAGENDA HONDA NSX!

Google ads
Back to top button